FMT Reporters
Annuar Musa yang menyertai PAS mungkin dalam senarai calon parti itu, manakala anaknya Ketua Pemuda Umno Ketereh, Afiq Amani, antara calon berpotensi bertanding di Kelantan.
PETALING JAYA: Annuar Musa disebut-sebut sebagai calon PAS pada PRN Kelantan, begitu juga anaknya, Afiq Amani, tersenarai antara calon dipertimbang Umno bertanding di satu kawasan di Parlimen Ketereh.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata nama Annuar mungkin berada dalam senarai calon bakal dikemukakan kepada Majlis Syura Ulama untuk tapisan.
Katanya, senarai calon bakal dikemukakan oleh perhubungan PAS negeri masing-masing.
“Setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan mengemukakan tiga nama calon untuk kita (Majlis Syura Ulama) pertimbangkan. Kita akan lihat kelayakan setiap calon bakal dikemukakan itu.
“Majlis Syura akan meneliti setiap calon bakal dikemukakan itu sebelum mempertimbang memilih mereka yang benar-benar layak untuk bertanding dalam PRN di enam negeri itu,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Sementara itu, Harian Metro melaporkan Ketua Penerangan Umno Kelantan, Zawawi Othman, mengesahkan Afiq yang juga ketua Pemuda Ketereh antara nama dihantar kepada pimpinan pusat untuk dipertimbang menjadi calon, dalam satu DUN Parlimen Ketereh.
“Afiq antara orang muda yang kita senaraikan nama, namun segala-galanya terserah kepada pucuk pimpinan parti yang memutuskannya kerana setiap DUN kita menyenaraikan lima nama.
“Kita senaraikan nama berdasarkan kapasiti kebolehan selain penerimaan calon berkenaan di DUN masing-masing, bukannya disebabkan anak kepada sesiapa,” katanya.
Beliau berkata, proses pemilihan calon berjalan lancar dan yakin tiada unsur “cah keting” dalam Umno selepas nama diumumkan nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan