"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Lembaga hitam berkepala 2 memanggil dalam hutan'

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Iwan (kiri) bersama anak saudaranya Al-Fajri (kanan) ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tawau di sini hari ini. FOTO  Abdul Rahemang Taiming.
Iwan (kiri) bersama anak saudaranya Al-Fajri (kanan) ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tawau di sini hari ini. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Tawau: "Selama 14 hari kami bertarung nyawa dengan hanya minum air sungai dan makan buah jambu hutan.

"Saya juga bimbang anak saudara (Al-Fajri) tidak dapat bertahan selain khuatir sesuatu yang buruk terjadi seperti serangan binatang buas," kata Iwan Musakir, 33, yang dilaporkan hilang bersama anak saudaranya Al-Fajri Anto, 11, ketika keluar berburu sejak 24 Jun lalu.

Berkongsi detik kejadian itu, Iwan berkata mereka mahu beredar dari lokasi berburu, namun singgah berteduh di bawah pokok berikutan hujan renyai.

Bagaimanapun katanya, mereka gagal mencari jalan keluar termasuk cuba menyusuri semula laluan asal namun sebaliknya semakin sesat jauh ke dalam hutan.

"Keadaan ketika itu sudah mula gelap dan kami mengambil keputusan untuk terus berjalan mencari jalan keluar namun tidak berjaya.

"Kami mencari air sungai untuk minum dan sesekali bertuah apabila terjumpa buah hutan seperti jambu batu untuk dimakan," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tawau, di sini, hari ini.

Katanya, bagi mengelak sebarang kemungkinan atau perkara buruk belaku, mereka hanya tidur antara satu hingga dua jam sahaja setiap malam selain memilih kawasan puncak bukit untuk rehat.

Iwan berkata, pada mulanya dia yakin dapat mencari jalan keluar namun selepas seminggu menyebabkannya mula berhalusinasi selain meracau manakala badan semakin lemah.

"Ada ketika saya melihat lembaga hitam berkepala dua memanggil-manggil tapi hilang dari pandangan tidak lama selepas itu dan keadaan ini berulang beberapa hari.

"Bagaimanapun saya cepat-cepat mengucap dua kalimah syahadah dan berdoa memohon perlindungan dari Allah," katanya sambil menambah mereka seolah-olah bergerak di kawasan atau tempat yang sama.

Tambahnya lagi, dengan sedikit pengalaman ikhtiar hidup di dalam hutan dia turut membuat tanda pada laluan bagi mengelak tersesat lebih jauh ke dalam hutan.

Sementara itu, ibu mangsa Emilia Landipong, 29, berkata dia dan suami, Anto Musakir, 35, tidak pernah putus harapan dan selalu mendoakan anak sulung daripada lima beradik itu dapat ditemukan dengan selamat.

"Syukur Alhamdulillah, akhirnya ditemui dengan selamat hari ini. Terima kasih kepada semua yang terbabit sepanjang pencarian," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua mangsa dikhuatiri hilang selepas keluar berburu di kawasan hutan berhampiran Ladang OP 6 Usahawan Borneo Brumas, dekat sini, sejak 24 Jun lalu sebelum operasi SAR yang memasuki hari ke-sembilan hari ini yang kemudiannya berjaya menjumpai kedua-dua mangsa.

Tiada ulasan: