"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Ramalan pengundi Melayu pilih PN hanya modal politik

Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Ramalan pengundi Melayu akan lebih memilih Perikatan Nasional (PN) berbanding calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, cuma modal politik semata-mata.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yakin Kerajaan Perpaduan masih diterima rakyat serta mampu meraih sokongan golongan muda dan pengundi atas pagar.

Katanya, kepercayaan itu bersandarkan kepada data saintifik keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kaji selidik dilakukan setiap bulan.

"Keputusan PRU lalu menunjukkan sokongan Melayu secara majoriti kepada Kerajaan Perpaduan 54 peratus berbanding 45 peratus (PN).

"Malah, sejak enam bulan lalu berdasarkan data bulanan tahap sokongan rakyat, memang ada peralihan undi Melayu di Semenanjung kepada Kerajaan Perpaduan itu lebih nyata di kalangan pengundi muda dan pengundi atas pagar.

"Saya faham itu (ramalan) satu-satunya modal yang PN ada, namun saya yakin apabila perkara ini kami jelaskan, pengundi atas pagar atau silent majority ini akan faham kerana kami juga pernah jadi pembangkang dan tahu majlis serta ceramah kempen anjuran mana-mana parti pun yang dihadiri 3,000 ke 4,000 orang.

"Itu bukan gambaran sokongan sebenar tetapi menduga keputusan sebenar ialah golongan silent majority ini," katanya selepas Majlis Pelancaran Innovathon, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas ramalan beberapa pihak mendakwa PN akan lebih meraih sokongan pengundi Melayu dalam PRN ini berbanding calon gabungan kerajaan BN dan PH.

Beliau berkata, data berkenaan juga menunjukkan PH akan mengekalkan kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"Berdasarkan data dan Sains, kita gunakan untuk kendalikan pilihan raya setakat ini, saya boleh nyatakan sokongan Melayu di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan selatan Kedah majoritinya kepada Kerajaan Perpaduan.

"Walaupun majoriti di kawasan Melayu di utara Kedah, Kelantan dan Terengganu sokongan mereka tidak kepada Kerajaan Perpaduan, setakat ini sudah ada peralihan ketara yang beralih daripada PN kepada Kerajaan Perpaduan.

"Insya-Allah, kita akan masuk pilihan raya ini dalam keadaan berada di depan untuk tiga negeri itu serta akui memang ada pertembungan sengit di Kedah dan peralihan besar dan baik di Kelantan," katanya.

Sementara itu katanya, PH dan BN sepakat memutuskan menggunakan logo masing-masing untuk calon mereka pada PRN di enam negeri kelak.

"PH akan guna logo sendiri manakala BN pun sama kerana secara taktikalnya kita mengakui PH ada kekuatan di kawasan tradisi kami.

"Pada masa sama, kita juga menerima BN ada kekuatan dengan pengundi dan penyokong tegar di kawasan tradisi mereka.

"Jadi, munasabah calon PH dan BN pakai logo sendiri kerana masing-masing ada kekuatan dan kelebihan," katanya.

Tiada ulasan: