"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kesan Akta Lompat Parti ke atas 4 MP Bersatu

HarapanDaily.com

DR ZULQARNAIN LUKMAN

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa semasa beliau dalam Jawatankuasa Penggubalan Akta bersama Gobind Deo dan Hanipa Maidin mewakili PH, PH berpandangan bahawa MP yang bertindak bertentangan dengan keputusan whip parti di dalam dewan adalah dikira hilang kerusi dan pilihan raya kecil perlu diadakan.

Tindakan MP yang bercanggah dengan keputusan whip parti itu seperti undian belanjawan, usul undi tidak percaya dan apa-apa Rang Undang-Undang (RUU) yang memberi kesan kepada kedudukan kerajaan.

Selain itu, MP yang dipecat oleh parti kerana melanggar disiplin dan perlembagaan parti, dikira hilang kerusi.

Perikatan Nasional (PN) masa itu diwakili Hamzah dan Takiyuddin. PN tidak setuju dengan cadangan PH di atas.

Akhirnya, Wan Junaidi Tunku Jafar sebagai pengerusi mengusulkan hanya cadangan yang mendapat konsensus semua parti yang akan dimasukkan.

Isu ini sebenarnya telah ditimbulkan oleh Anthony Loke semasa dalam perbahasan pada 27 Julai 2022. Ini yang dibahaskan oleh Anthony Loke:

“Saya bagi contoh, kalau lepas Pilihan Raya yang Ke-15 nanti, ada seorang Ahli Parlimen DAP, keputusan DAP sokong Yang Berhormat Port Dickson sebagai Perdana Menteri. Akan tetapi Ahli Parlimen itu tidak mengikut keputusan parti dia sokong Yang Amat Berhormat Bera menjadi Perdana Menteri. Apakah kita boleh buat?

“Kalau kita pecat dia, dia kekal sebagai Ahli Dewan Rakyat. Dia tidak akan mendapat apa-apa kesan daripada tindakan itu melanggar keputusan parti.

“Perkara ini juga boleh berlaku di sebelah sana. Kalau sebelah sana ada Ahli Parlimen yang tidak menyokong Yang Amat Berhormat Bera sebagai Perdana Menteri, sokong Yang Berhormat Port Dickson sebagai Perdana Menteri. Maka kalau mereka dipecat, dia juga tidak akan mendapat kesan sebab kerusinya masih kekal.

“Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya tahu bahawa keputusan ini dibuat kerana tidak ada consensus dalam Jawatankuasa Pilihan Khas. Saya tahu bahawa kita memerlukan consensus daripada semua parti supaya kita ada dua per tiga.

“Akan tetapi saya rasa ada jalan keluar dia. Apa jalan keluar dia? Saya nak mendapatkan kepastian daripada Yang Berhormat Menteri semasa menggulung nanti ialah bahawa kalau seseorang Ahli Dewan Rakyat itu asas dia ialah keahlian keanggotaannya kepada parti.

“Apabila seseorang Ahli Dewan Rakyat itu asas dia kepada parti maka dia juga tertakluk kepada undang-undang tubuh parti ataupun perlembagaan parti. Saya nak bangkitkan dan supaya Yang Berhormat Menteri boleh jawab dalam perkara ini.

“Kalau dalam perlembagaan parti, sesebuah parti politik diletakkan, dikhususkan bahawa kalau dalam keadaan-keadaan yang saya sebut tadi, umpamanya dari segi sokongan kepada Perdana Menteri, undian kepada belanjawan, undian dalam Perlembagaan Persekutuan…

“… kalau seseorang Ahli Dewan Rakyat itu dia melanggar keputusan parti dan dalam perlembagaan parti ditulis secara jelas, kalau keadaan-keadaan sebegitu, Ahli Dewan Rakyat itu melanggar keputusan parti…

“… maka he ceases to be a member ataupun keahliannya tergantung atau keahliannya terlucut secara automatiknya, tergugur secara automatiknya.

“Maka, bolehkah itu tidak dianggap sebagai pemecatan dan dia akan hilang kerusi apabila pimpinan parti menulis surat kepada Tuan Yang di-Pertua bahawa keahliannya sudah tergugur kerana dia melanggar Perlembagaan parti.

“Jadi, itu bagi saya merupakan salah satu way out supaya parti-parti politik dapat kita ada safeguard yang lebih ketat.

“Saya nak memberitahu kepada Yang Berhormat Menteri, kalau Yang Berhormat Menteri esok gulung mengatakan bahawa ini boleh dilaksanakan saya berjanji DAP akan merupakan parti politik yang pertama kita akan pinda perlembagaan parti untuk masukkan seksyen ini dalam perlembagaan parti kita.

“Sebab kita nak foolproof. Kita tidak mahu satu Perlembagaan dipinda bahawa ia tidak boleh dilaksanakan dengan foolproof. Jadi saya harap Yang Berhormat Menteri boleh jawab dalam penggulungan esok.”

Boleh rujuk hansard 27 Julai 2022, halaman 52.

Pada 28 Julai 2022, sekali lagi Anthony Loke telah membuat pencelahan dan bertanyakan kepada Menteri:

“Boleh saya sambung? Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya nak tanya, sebab contoh yang diberikan oleh Yang Berhormat Menteri tadi dalam keadaan (c) tadi iaitu kalau seseorang itu melanggar keputusan parti dan dalam perlembagaan partinya mengatakan bahawa kalau dia melanggar keputusan parti, maka keanggotaannya akan terlucut ataupun cease to be a member.

“Adakah itu dianggap sebagai bertukar parti sebab itu ada hubung kait dengan perbahasan saya. Saya nak tanya kepastian daripada Yang Berhormat Menteri.

“Sebab kalau itu dianggap sebagai bertukar parti, maka implikasinya ialah kalau pindaan kepada Perlembagaan parti dibuat, maka seseorang itu akan hilang jawatannya sebagai Ahli Dewan Rakyat kalau dia melanggar keputusan parti. Saya harap itu dapat kepastian sebab itu akan memberikan implikasi kepada parti-parti politik supaya mengambil tindakan susulan. Terima kasih.”

Dalam jawapannya pada 28 Julai 2022, Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Menteri yang bertanggungjawab menyatakan:

“Ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan kepada ahli parti politik lain diwakilinya tidak dianggap bertukar parti. Ini kerana Ahli Dewan Rakyat tersebut masih kekal sebagai ahli parti politik yang diwakilinya. Jadi Yang Berhormat, saya nak ulas panjang sikitlah ini ya. Kita bincang pun soalan ini panjang lebar juga dalam jawatankuasa.

“Jadi, dia hanya menyokong. Contohnya kalau menyokong apa-apa usul yang dibawa oleh kerajaan, parti pembangkang tetapi dalam parti itu tidak ada menghalang dia untuk menyokong.

“Akan tetapi kalau dia ada halangan daripada parti itu yang melarang dia menyokong dan perlembagaan partinya mengatakan dia akan tergugur keahliannya, itu dah lain cerita, Yang Berhormat. Maknanya dia boleh sokong mana-mana usul, mana-mana tindakan, apa sahaja pihak kerajaan atau pihak pembangkang tidak akan menjatuhkan keahliannya melainkan dia join parti itu. pilihan khas. Kalau kita lihat dalam Perlembagaan, ia menumpukan kepada Ahli Parlimen. Soalan ahli politik itu tidak terbangkit ya. Itu yang pertama.”

Lihat hansard 28 Julai 2022, m/s 76-77

Susulan daripada jawapan Menteri itu, DAP telah membuat pindaan kepada Perlembagaan Parti DAP. Parti Amanah Negara juga telah membuat pindaan yang sama di dalam Fasal 6.3 Perlembagaan parti yang menyatakan seperti berikut:

“6.3 Melepaskan Keanggotaan sebagai ahli parti.
(a) Mana-mana ahli Parti yang juga adalah Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri, mengikut mana-mana yang terpakai, yang bertindak melanggar keputusan Parti atau whip Parti adalah secara automatik hilang keanggotaannya dalam Parti dan telah dianggap sebagai bertindak melepaskan keanggotaan daripada Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 49A(1)(a)(i) Perlembagaan Persekutuan dan juga dianggap sebagai tidak lagi menjadi anggota Parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 49A(1)(a)(ii) Perlembagaan Persekutuan.

(b) Setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Pengurusan Nasional, Setiausaha Agung hendaklah menghantar satu notis bertulis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri yang berkenaan bagi memaklumkan bahawa ahli tersebut telah melepaskan keanggotaan Parti dan tidak lagi menjadi anggota Parti dan berlaku kekosongan luar jangka dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat atau Ahli Dewan Undangan Negeri tersebut.”

Kesimpulannya, memang wujud loophole dalam pindaan perlembagaan berkaitan anti lompat parti ini. Namun, hal itu berlaku kerana tiada konsensus berkaitan hal ini sewaktu ianya dibentangkan di Parlimen tempoh hari.

Oleh itu, untuk mengatasi hal ini segera adalah sama ada dengan membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan atau membuat pindaan kepada Perlembagaan parti masing-masing.

Meminda Perlembagaan Parti adalah lebih mudah berbanding dengan meminda Perlembagaan Persekutuan memandangkan pindaan perlembagaan parti hanya melibatkan ahli-ahli parti berbanding dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan 2/3 ahli-ahli Parlimen yang meliputi pelbagai latar belakang.

Kebimbangan yang ditimbulkan oleh Ahmad Maslan juga mempunyai asas kerana UMNO sendiri pun belum meminda perlembagaan parti selaras dengan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Ini bermakna MP UMNO masih boleh memberikan sokongan kepada Muhyidin atau Hadi Awang atau Hamzah Zainudin untuk menjadi Perdana Menteri seperti sokongan yang diberikan oleh 4 orang MP Bersatu ini kepada Anwar Ibrahim.

Mungkin yang menghalang beberapa MP UMNO ini daripada beralih sokongan adalah kerana tiada insuran untuk survival mereka jika beralih sokongan. Selain itu, tidak juga dilupakan bahawa MP UMNO keseluruhannya telah menandatangani surat akuan masing-masing yang menyatakan bahawa mereka akan terus mematuhi arahan parti yang diketuai oleh presidennya.

Dalam keadaan sekarang sebenarnya yang terhimpit adalah PPBM. Mungkin yang akan beroleh keuntungan daripada isu ini adalah Pas kerana jika PPBM melemah maka Pas akan menjadi lebih kuat dalam PN dan akhirnya Pas akan menguasai PN secara keseluruhannya sebagaimana Pas pernah lakukan dahulu ke atas Semangat 46.

Cuma, Pas mungkin tidak sedar bahawa undi Melayu-Islam yang banyak diperolehi oleh PN dan bukannya atas tiket Pas semata-mata.

Sebab itulah, Pas hanya berani bertanding menggunakan logo bulan di Kelantan dan Terengganu sahaja.

Tiada ulasan: