V Anbalagan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan ganti rugi RM350,000 dibayar kepada bekas pemain hoki kebangsaan dalam saman cuai bagi pihak mendiang isterinya yang meninggal dunia 10 bulan selepas mengalami strok.
Pesuruhjaya Kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah bagaimanapun hanya memerintahkan doktor yang merawat Salinder Kaur membayarnya, manakala Kelana Jaya Medical Centre Sdn Bhd didapati tidak bertanggungjawab.
Suami Salinder, Avtar Singh, menganggotai skuad Olimpik 1976 dan 1980, selain pasukan Piala Dunia 1978 dan 1981.
“Akibat kejadian tragik yang berlaku kepada isterinya (Salinder), beliau terpaksa melepaskan semua kepentingannya, termasuk sebagai jurulatih, untuk menghabiskan masa sepenuhnya bagi menjaganya,” kata Raja Ahmad dalam penghakiman bertulis dikeluarkan hari ini.
Avtar, 68, memfailkan saman dalam kapasiti sebagai pentadbir estet Salinder.
Doktor mengakui bertanggungjawab ketika perbicaraan berlangsung separuh jalan.
Dalam penghakiman lisan dibacakan pada 18 Ogos lalu, mahkamah membenarkan ganti rugi khas kira-kira RM235,000 serta ganti rugi am RM100,000.
“Saya dapati jumlah RM100,000 itu wajar memandangkan si mati terlantar 10 bulan sebelum meninggal dunia akibat strok pada batang otak,” katanya dalam penghakiman 33 muka surat itu.
Menurut pernyataan tuntutan difailkan pada 2019, Salinder dibawa ke jabatan kecemasan hospital berkenaan selepas mengalami sakit teruk dan kebas pada lengan kiri, pada 21 Ogos 2016 lalu dirawat doktor berkenaan.
Beliau dipindahkan ke hospital swasta lain sebelum dipindahkan pula ke Hospital Rehabilitasi Cheras.
Memandangkan keadaannya tidak beransur pulih, Salinder yang ketika itu lumpuh dibawa pulang ke rumah sebelum meninggal dunia pada 19 Jun 2017.
Hakim berkenaan berkata, ada dakwaan bahawa doktor terlibat beramal di luar skop kelayakannya, dan seterusnya gagal mendiagnos si mati dengan betul kerana hospital terlibat tidak memiliki peralatan perubatan sewajarnya.
Disebabkan itu, Salinder dipindahkan ke hospital lain.
Menurutnya, si mati dilihat mengalami strok pada batang otak sebelum meninggal dunia hampir 10 bulan kemudian.
Avtar yang diwakili peguam Ravi Nekoo telah memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah menolak tuntutannya terhadap hospital berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan