"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak wajar pemimpin PAS serang Nik Elin - Zaid

Malaysiakini

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim membantah serangan pemimpin PAS terhadap peguam Nik Elin Nik Abdul Rashid, yang bersama anak perempuannya, telah memfailkan cabaran undang-undang untuk membatalkan 20 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Zaid menegaskan pemimpin PAS tidak wajar menyerang Nik Elin, tindakan yang didakwanya seperti mahu memudaratkan keselamatan peguam itu.

"It's like they want to lynch her. ..Mereka mendakwa dia mencabar Islam dan doktrin Islam.

“Ketua Hakim Negara telah bersusah payah menjelaskan pada awalnya bahawa cabaran undang-undang ini bukanlah serangan terhadap Islam.

“Namun pemimpin PAS masih berkeras (dengan pendirian) begitu,” kata Zaid pada hantaran di X semalam.

Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan (gambar, atas) mendakwa enakmen syariah yang sama di semua 14 negeri akan terbatal sekiranya Mahkamah Persekutuan membenarkan cabaran undang-undang oleh warga Kelantan Nik Elin dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Bertentangan dengan dakwaan pemimpin PAS dan PN, Zaid berhujah kes itu mengenai penentuan sama ada Dewan Undangan Negeri Kelantan telah melebihi kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan atau pun tidak.

Mahkamah Persekutuan akan menyambung semula pendengaran cabaran ibu dan anak itu pada 20 Nov.

Zahid berkata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat telah melibatkan sidang sembilan hakim, dengan mengambil kira kepentingan kes dan kepentingan awam yang tinggi.

“Beliau (Tengku Maimun) telah mengambil jalan yang paling munasabah dan wajar.

"Nik Elin juga, boleh dikatakan telah melantik peguam perlembagaan tertinggi di negara ini.

"Semua orang mahu undang-undang dipastikan dan ditentukan dengan betul," kata Zaid.

'Serangan tidak langsung terhadap hakim'

Selanjutnya, Zaid menegaskan serangan terhadap Nik Elin juga merupakan serangan tidak langsung terhadap hakim yang dilantik untuk mendengar kes berkenaan.

“Sekiranya mahkamah rasa patut mendengar kes itu (mengenai mana-mana perkara), bukankah semua pihak patut menghormati keputusan itu?

"Apabila kita tunduk kepada kedaulatan undang-undang, kita tidak boleh menentang keputusan mahkamah untuk memutuskan apa-apa subjek atau perkara.

"Undang-undang adalah apa yang mahkamah katakan, bukan orang lain," katanya.

Zaid menegaskan PAS dan Bersatu sepatutnya mencadangkan pindaan parti itu sendiri terhadap Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang, sambil menghormati hak orang lain.

"Masukkan (pindaan) itu dalam manifesto mereka. Tetapi mereka tidak seharusnya menafikan hak sesiapa untuk pergi memohon ke Mahkamah Persekutuan mengenai kesahihan mana-mana undang-undang yang diluluskan, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri," katanya lagi.

Pada 8 Nov, PN mengumumkan akan mengadakan beberapa siri demonstrasi bagi membantah cabaran undang-undang terhadap 20 peruntukan di bawah enakmen jenayah syariah Kelantan itu.

Tiada ulasan: