"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu, kelindan lori maut nahas tertusuk kayu

FMT Reporters
Bomba cuba mengeluarkan dua mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Dungun-Bukit Besi, Dungun. (Gambar Facebook JBPM)
PETALING JAYA: Pemandu lori dan kelindannya maut ditusuk kayu dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Serdang, Dungun, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, Mohd Shahrul Hafif Abd Kadir, 37, dan kelindannya, Ridzuan Mohamad, 43, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Dungun Maizura Abdul Kadir berkata kejadian berlaku ketika dua lori termasuk dinaiki mangsa dalam perjalanan menghantar bekalan kayu di Kampung Balai Besar, Dungun.

Bagaimanapun, ketika menghampiri simpang, lori dipandu rakan mangsa dikatakan berhenti untuk keluar ke kanan jalan, menyebabkan lori dinaiki mangsa hilang kawalan, lalu merempuh belakang kenderaan terbabit.

“Rempuhan kuat menyebabkan lori di hadapan itu menggelungsur ke depan lalu dilanggar sebuah Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun, dari arah Dungun ke Bukit Besi,” katanya menurut Berita Harian.

Maizura berkata, kesan rempuhan kuat menyebabkan Shahrul dan Ridzuan tertusuk muatan kayu dibawa lori di depannya.

“Kedua-dua mangsa yang cedera parah pada dada meninggal di tempat kejadian. Sepasukan 11 anggota bomba dari Balai Bomba Dungun yang bergegas ke tempat kejadian membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit,” katanya.

Mayat mereka dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Pemandu Proton Wira dan sebuah lagi lori yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: