"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bukit Aman panggil semula Agus bersama Wahab beri keterangan

Nor Azizah Mokhtar

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bukit Aman akan memanggil bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff untuk dirakamkan semula keterangannya berhubung video perbualan berunsur lucah yang tersebar sejak Khamis.

Tindakan itu diambil susulan siasatan kes berkenaan kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman selepas mengambil alihnya daripada Polis Selangor.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, ketika mengesahkan perkembangan siasatan itu, berkata pihaknya juga akan memanggil seorang kakitangan J-KOM yang dikaitkan dengan rakaman video terbabit itu, iaitu Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, untuk diambil keterangan.

Beliau berkata, proses rakaman keterangan terhadap kedua-dua individu terbabit akan dijalankan dalam masa terdekat.

"Bila dan di mana (proses rakam keterangan), kita masih atur buat masa ini," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, BH melaporkan polis sudah selesai merakam keterangan Mohamad Agus selepas beliau tampil membuat laporan polis berkait rakaman video itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, buat masa ini polis menerima satu laporan polis berhubung kes itu, dan beliau merujuk kepada laporan polis oleh Mohammad Agus, semalam.

Sehubungan itu, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.

Mohammad Agus dalam satu sidang media khas, semalam mendakwa video perbualannya bersama individu bernama Wahab yang tular di media sosial itu sebenarnya sudah disunting.

Beliau berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan pihak tertentu yang sengaja mahu menjatuhkan reputasi beliau dengan menyebarkan video yang didakwanya sebagai palsu.

Abdul Wahab yang turut serta dalam sidang media khas, semalam mengaku merakam video asal yang didakwa sudah diubah suai itu.

Abdul Wahab mendakwa dia diarahkan oleh seorang individu berjawatan tinggi dikenali Mr H untuk merakam satu klip video bagi memerangkap bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Tiada ulasan: