IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
KEMAMAN : Dua pembantu kedai makan bersama lima remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan merogol seorang wanita bawah umur pada Julai, tahun lalu.
Kesemua tertuduh berusia 14 hingga 19 tahun tersebut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan berasingan dihadapan Hakim Wan Suhaila Mohd dan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol dan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan mereka di sebuah rumah di antara pukul 4 petang hingga 6.15 petang pada pertengahan Julai tahun lalu di sebuah rumah di Kijal, pada pertengahan Julai tahun lalu
Terdahulu, kedua-dua tertuduh berusia 19 tahun masing-masing didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 377B kanun yang sama di Mahkamah Sesyen.
Wan Suhaila membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.
Wan Suhaila kemudiannya menetapkan 14 Disember ini bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, lima lagi tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan yang sama, pada masa dan lokasi yang sama.
Sharifah Amirda Shasha membenarkan kesemua tertuduh yang juga pesalah juvana ini diikat jamin antara RM3,700 hingga RM4,000 dan kes disebut semula pada 3 Januari depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Ahnaf Zaimi. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan