"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Samsuri mungkin calon PM masa depan PAS

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Pencalonan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar pada PRK Kemaman mungkin strategi PAS menampilkan calon perdana menteri dari golongan profesional pada masa depan, kata penganalisis politik.

Mereka berpendapat Samsuri yang juga pakar aeroangkasa mampu mengikis imej “parti lebai” PAS, dalam usaha menarik sokongan masyarakat dan gabungan parti politik dari Sabah serta Sarawak untuk menawan Putrajaya.

Namun Rusdi Omar daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata laluan memenangi hati rakyat dari Malaysia Timur bukan mudah, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha dimulakan termasuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu dan Islam.

“Biasanya untuk dapatkan sokongan dari bahagian itu, mereka (Perikatan Nasional) kena cari pemimpin yang betul-betul dan profesional sebab kalau bertaraf ulama mungkin agak sukar.

“Itu mungkin antara punca PAS pilih Samsuri kalau betul dia nak jadi perdana menteri,” katanya kepada FMT, mengulas langkah PAS mempertaruhkan naib presiden PAS itu untuk mempertahankan Parlimen Kemaman pada 2 Dis depan.

Bagaimanapun, Rusdi berkata misi ke Putrajaya pada PRU16 mungkin agak sukar sekiranya sentimen perkauman dan agama terus menjadi modal politik PAS walaupun kempen itu berjaya membawa parti Islam itu menang 43 kerusi Parlimen pada November lalu – pencapaian terbaiknya sejak menyertai pilihan raya.

PAS juga mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan, dan Terengganu selain merampas Perlis yang sejak sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Tapi dalam keadaan sekarang saya tak nampak PN boleh menang PRU16, walaupun cuba calonkan Samsuri di peringkat pusat,” kata Rusdi.

Salawati Mat Basir daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pula berpandangan Samsuri mempunyai ketokohan, dengan latar belakang profesional serta pendedahan agama.

“Semua parti bercita-cita ke Putrajaya, tak salah kalau mereka mempersiapkan diri untuk menjadi perdana menteri…kelebihan Samsuri beliau dari golongan profesional,” katanya.

Bagaimanapun, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara menyifatkan pencalonan Samsuri reaksi terhadap tindakan BN mencalonkan bekas panglima tentera, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

“Bukan kerana Samsuri akan menjadi bakal PM, tujuannya susulan kesan positif daripada calon BN yang bukan orang politik tetapi panglima tentera.

“Memang betul kata Ahmad Said (ketua Umno Terengganu)… mereka gentar,” katanya yang menyamakan langkah itu seperti ketika PKR mencalonkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk menewaskan Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak pada PRU15.

Tiada ulasan: