"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki langgar keluarga Muslim disabitkan bersalah membunuh

AFP
KELUARGA Afzaal. (Dari kiri) Yumna Afzaal, Madiha Salman, Talat Afzaal dan Salman Afzaal. FOTO The Guardian
KELUARGA Afzaal. (Dari kiri) Yumna Afzaal, Madiha Salman, Talat Afzaal dan Salman Afzaal. FOTO The Guardian
Ottawa: Lelaki Kanada yang menggunakan traknya untuk melanggar keluarga Islam yang ketika itu keluar berjalan-jalan, didapati bersalah pada Khamis, dalam perbicaraan pembunuhan pertama Kanada di mana juri diminta mempertimbangkan motif keganasan yang berkaitan dengan 'ketuanan kulit putih'.

Nathaniel Veltman, 22, disabitkan bersalah dengan empat pertuduhan pembunuhan tahap pertama atau pembunuhan terancang, dan satu pertuduhan cubaan membunuh. Dia berdepan hukuman penjara sepanjang hayat apabila dijatuhkan hukuman.

Dia mengakui menyerang keluarga Afzaal dengan trak pikapnya pada Jun 2021 di London, Ontario, yang menyebabkan tiga generasi keluarga itu mati dan seorang budak lelaki menjadi yatim piatu.

Pihak pendakwaan berhujah di perbicaraan bahawa tertuduh didorong oleh ideologi 'ketuanan kulit putih' dan berusaha untuk menakut-nakutkan atau mengganas terhadap orang Islam.

Pihak pembelaan berkata, dia mengalami kemerosotan mental yang bagaimanapun tidak memenuhi keperluan untuk pengakuan gila dan berada dalam keadaan kekeliruan melampau selepas memakan cendawan spesies psilocybin halusinogen pada hujung minggu itu.

Imam Abdul Fattah Twakkal berkata, keputusan itu adalah langkah monumental dalam memerangi kebencian dan Islamofobia.

"Ia menjadi pemula terhadap keganasan nasionalis kulit putih. Ia menghantar mesej yang jelas bahawa kebencian itu tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita.

"Bukti yang keluar daripada perbicaraan ini menunjukkan kepada kita bahawa masih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk memastikan bahawa pemuda radikal seterusnya tidak berada di luar sana," katanya di luar mahkamah.

Ibu kepada salah seorang mangsa, Tabinda Bukhari berkata, dia menerima keputusan itu, selain menyifatkan kejadian yang berlaku membuatkan dirinya trauma dan akan kekal dalam ingatan.

"Kesedihan yang berkekalan, trauma dan kekosongan yang tidak dapat digantikan akibat kehilangan beberapa generasi satu keluarga 'menusuk' kami dengan mendalam," katanya.

Sementara itu, Ketua Majlis Kebangsaan Muslim Kanada Omar Khamissa berkata, serangan dua tahun lalu itu mengubah hubungan umat Islam Kanada dengan negara mereka.

"Buat pertama kali bagi kebanyakan daripada kami, kami berasa tidak selamat dan menjadi sasaran hanya untuk berjalan di jalanan," katanya.

Bekas menteri persekutuan, Omar Alghabra menerusi hantaran di aplikasi X (sebelum ini Twitter) berkata, kes ini adalah contoh bagaimana kata-kata kebencian boleh membawa kepada radikalisasi yang boleh membawa kepada keganasan maut.

Salman Afzaal, 46, isterinya Madiha Salman, 44, anak perempuan mereka Yumnah, 15, dan neneknya Talat Afzaal, 74, terbunuh dalam kejadian itu.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun - yang menjadi yatim piatu dalam kemalangan itu - mengalami kecederaan serius.

Tarikh prosiding hukuman dijadualkan pada 1 Disember ini.

Tiada ulasan: