"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tukar sokongan Ahli Parlimen usaha ‘hancurkan’ Bersatu

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Hampir semua Ahli Parlimen Bersatu didekati untuk menyuarakan sokongan kepada kerajaan Anwar Ibrahim sebagai usaha “menghancurkan” Bersatu, kata sumber dalaman parti.

Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu memberitahu FMT, anggota kerajaan Anwar akan “berusaha dalam apa jua sekalipun untuk menghancurkan Bersatu” menyebabkan parti itu mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan lebih banyak pembelotan.

Sumber itu tidak menjelaskan “langkah pencegahan” itu dan hanya menyatakan “ia sulit”.

Katanya, hampir semua 31 Ahli Parlimen Bersatu didekati, namun kejayaan langkah itu belum dapat dilihat.

Setakat ini, hanya empat Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan Anwar.

FMT cuba mendapatkan jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil untuk mengulas dakwaan itu.

Seorang lagi Ahli Parlimen Bersatu berkata, beliau dihubungi baru-baru ini berhubung sokongan kepada kerajaan.

“Ya, saya ada menerima panggilan (meminta untuk mengatur pertemuan), tetapi saya enggan jumpa orang itu. Apabila saya tanya rakan Ahli Parlimen lain mengenainya, mereka kata pemanggil akan menawarkan wang tunai dan peruntukan,” dakwanya.

Minggu lalu, Presiden Umno, Zahid Hamidi dilaporkan berkata lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang akan mengisytiharkan sokongan mereka kepada Anwar dan sokongan diberikan Ahli Parlimen Bersatu setakat ini perlu diterima dengan hati ikhlas.

Empat Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar berkata, mereka akan kekal dalam Bersatu. Mereka adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Keahlian Suhaili dan Iskandar digantung selama enam dan empat tahun.

Mereka berkata, tindakan itu diambil demi kepentingan pengundi. Suhaili turut berkata, beliau sudah menerima peruntukan bagi dana pembangunan kawasannya selepas mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Tiada ulasan: