"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siti Nurhaliza pembayar zakat tertinggi dalam kalangan penyanyi

Kuala Lumpur : Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendedahkan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyumbang zakat tertinggi dalam kalangan penyanyi di Malaysia.

Perkara itu dikongsikan seorang moderator ketika mengendalikan forum berjudul Bizjihad yang turut dihadiri penyanyi berusia 44 tahun itu serta Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun sebagai ahli panel pada acara yang berlangsung, baru-baru ini.

Penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu turut dikatakan tidak pernah gagal menjelaskan bayaran zakat sejak lima tahun lalu di LZS.

"Boleh dikatakan dalam kalangan artis atau lebih tepat kategori penyanyi, saya boleh katakan Siti adalah pembayar tertinggi zakat di LZS.

"Harapnya selepas ini, akan ada lebih ramai rakan artis yang mengikut jejak langkah Siti.

"Beliau dalam tempoh lima tahun tidak pernah gagal membayar zakat, walaupun banyak membuat kerja kebajikan lain seperti menguruskan Yayasan Nur Jiwa dan sebagainya," kata moderator terbabit.

Dalam pada itu, Siti yang dikatakan mula membayar zakat di LZS sejak 2019 berkata, selama ini dia sering membuat pembayaran zakat di tempat kelahirannya di Pahang.

"Sejak mula aktif menyanyi sehingga tahun 2019 saya membuat pembayaran zakat di Pahang. Kemudian selepas berkahwin saya bayar zakat di LZS sehingga hari ini.

"Saya ini boleh dikatakan insan bertuah sebab sejak kecil mak selalu mengingatkan saya mengenai zakat.

"Selagi bernyawa, apa yang boleh saya teruskan (bayar zakat), saya akan cuba laksanakan. Lagipun dalam Rukun Islam kita perlu memenuhi kewajipan ini.

"Saya percaya zakat juga menyucikan semula harta-harta yang kita miliki. Saya sentiasa nak jadi orang yang dapat meringankan beban orang lain," katanya.

Menurut Siti, setiap pendapatan yang diterima perkara pertama yang dilakukan adalah membayar zakat terlebih dulu.

"Membayar zakat ini memang sudah diingatkan dari kecil lagi sehinggakan setiap pendapatan yang diterima, saya akan buat potongan awal sebelum membayar komitmen lain.

"Bagi saya, ini adalah tanggungjawab setiap umat Islam dan syarikat. Jika kita nak harta kita bersih daripada perkara yang tidak diingini kita kena selalu ingat untuk berzakat," katanya.

Terdahulu, tular video menerusi siaran langsung program terbabit mengenai pendedahan Siti sebagai pembayar zakat tertinggi dalam kategori penyanyi.

Tiada ulasan: