"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wahab dakwa 'Mr H' arah rakam perbualan dengan Agus

Suraya Ali
suraya.ali@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Lelaki dalam video perbualan jelik bersama Datuk Dr Muhammad Agus Yusoff, mendakwa diarah pegawai atas yang digelarnya sebagai 'Mr H' untuk merakam perbualan bersama Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu.

Lelaki dikenali Wahab atau nama sebenarnya Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, berkata dia merakam perbualan video bersama, namun isi perbualannya bukan seperti yang tersebar dan tular di media sosial itu.

Tanpa mendedahkan identiti Mr H, Wahab yang juga Penolong Pegawai J-KOM, berkata apa yang berlaku dalam video yang tular itu adalah konspirasi daripada individu berkenaan.

"Saya diarah berjumpa Mr H di pejabat beliau awal November lalu dan bermula daripada situ, beberapa pertemuan diaturkan Mr H, termasuk dibawa ke hotel sekitar Kuala Lumpur untuk berjumpa individu yang disebutnya sebagai amat berpengaruh.

"Sepanjang pertemuan, saya diberitahu Mr H mendapat maklumat daripada pihak tertentu bahawa Agus terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

"Mr H menyatakan beliau ditugaskan untuk membersihkan J-KOM dari dalam. Beliau turut meyakinkan saya bahawa beliau disokong beberapa individu berpengaruh yang ingin menjatuhkan Agus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media yang turut disertai Agus di sebuah hotel di Bandar Baru Bangi, malam ini.

Semalam, tular video mengenai perbualan jelik membabitkan dua individu berkenaan, dengan Agus turut dilapor menghantar surat peletakan jawatan beliau selaku Ketua Pengarah J-KOM.

Agus ketika sidang media hari ini menafikan ketulenan video itu, sebaliknya mendakwa ia disunting pihak tertentu.

Dalam pada itu, Wahab berkata selaku seorang pegawai baharu, dia teruja untuk melaksanakan tugasan diberikan Mr H itu.

"Saya diarahkan membuat satu rakaman perbualan video bersama Agus bagi mendapatkan bukti beliau terbabit aktiviti songsang dan tidak bermoral.

"Saya terkejut apabila rakaman video itu disebarkan oleh Cikgu Bard di laman Facebook beliau. Lebih mengejutkan lagi, rakaman video itu disunting dan 'diedit' (diubah suai) oleh pihak yang tidak bertangungjawab menggunakan teknik 'voice over'," katanya.

Wahab berkata, dia tampil menjelaskan kepada masyarakat bagi membersihkan nama dan akan membuat laporan polis serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah.

Tiada ulasan: