"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PM gesa OIC desak gencatan senjata serta merta, bantuan ke Gaza disegera

Bernama
Anwar Ibrahim beramah mesra bersama Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman (kiri) dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Sidang Kemuncak Tergempar OIC di Riyadh, Arab Saudi semalam. (Gambar Bernama)
RIYADH: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar secara konsisten mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta, manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan.

Bercakap pada sesi kelapan Sidang Kemuncak Tergempar OIC bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin, beliau berkata, umat Islam di seluruh dunia mengharapkan hasil ketara serta tindakan konkrit daripada sidang kemuncak yang berlangsung sehari itu.

“Saya menggesa semua anggota OIC agar menggunakan saluran dan rangkaian diplomatik masing-masing secara strategik dalam setiap dialog pada semua peringkat sama ada dua hala atau pelbagai hala, serantau mahupun antarabangsa.

“Marilah kita secara konsisten dan tegas mendesak perkara itu dalam satu kempen diplomatik yang bersepadu untuk memulakan pelaksanaan gencatan senjata dan menyegerakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” katanya.

Sidang kemuncak tergempar itu, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz di Riyadh, dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed Salman, yang juga perdana menteri Arab Saudi.

Tiada ulasan: