"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi kes mercun: 2 ditahan lontar mercun ke arah polis

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan kerana dipercayai melontar mercun ke arah anggota polis dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas di kawasan perumahan Lembah Subang, Kelana Jaya dekat Petaling Jaya, awal pagi Isnin.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata kedua-dua suspek dalam lingkungan 20-an itu ditahan di kawasan perumahan terbabit hasil maklumat orang awam.

Katanya IPD Petaling Jaya menerima aduan orang awam memaklumkan sekumpulan lelaki bermain mercun sehingga mengganggu ketenteraman awam di kawasan perumahan itu pada 4.35 pagi.

Bertindak atas maklumat, beliau berkata dua kenderaan peronda yang dibantu anggota “Task Force” dari Balai Polis Kelana Jaya ditugaskan ke lokasi kejadian.

“Semasa pasukan polis tiba di lokasi, didapati kira-kira 50 penduduk perumahan tersebut berkumpul menunjukkan perasaan marah akibat bunyi mercun berterusan sehingga mengganggu ketenteraman awam.

“Anggota dan kenderaan polis yang berada di lokasi kejadian turut dilontarkan mercun oleh suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fakhrudin berkata semakan polis mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan dadah, manakala suspek kedua memiliki empat rekod kesalahan jenayah dan satu kesalahan dadah.

Katanya kedua-duanya direman dua hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Orang ramai dinasihatkan mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.”

Tiada ulasan: