"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penunggang motosikal cedera rempuh harimau di Gua Musang

Bernama
Muhammad Zulhilmi Mokhtar terjatuh dan cedera di bahagian atas kening kanan serta kaki kiri selepas seekor harimau belang merempuh tayar depan motosikalnya. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG: Seorang pemuda cedera di muka dan kaki selepas dipercayai merempuh seekor harimau belang ketika menunggang motosikal di Jalan Gua Musang-Jeli, malam tadi.

Pemilik kebun Muhammad Zulhilmi Mokhtar, 26, berkata detik cemas itu berlaku kira-kira 9.30 malam apabila haiwan tersebut tiba-tiba keluar dari kawasan semak di kanan jalan dan merempuh tayar depan motosikal ditunggangnya.

“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan ke Sungai Terah untuk bermain badminton melalui jalan berbukit yang gelap tanpa lampu di kiri dan kanan jalan.

“Saya sempat melihat kelibat harimau belang sebelum kejadian yang berlaku dalam sekelip mata.

“Selepas terjatuh dari motosikal, saya bangun dan berlari sejauh 100m untuk mendapatkan pertolongan pengguna jalan raya lain dengan menyalakan lampu telefon bimbit,” katanya di rumahnya di Kampung Lembaga.

Zulhilmi berkata dia cedera di bahagian atas kening kanan dan di kaki kiri.

Katanya, seorang pengguna jalan raya melalui kawasan berkenaan membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

“Saya tidak pasti adakah harimau itu sememangnya bertindak untuk menyerang saya atau sekadar ingin melintas jalan kerana lokasi itu berada dekat kawasan hutan.”

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani, berkata pihaknya menerima makluman kejadian itu dan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Kesan bulu yang ada pada motosikal mangsa sudah dihantar ke makmal untuk pengesahan dan haiwan terbabit adalah harimau belang seperti didakwa.”

Tiada ulasan: