"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Guru, suami isteri antara ditahan kerana dadah

Syaherah Mustafa
am@hmetro.com.my
DADAH yang dirampas polis ketika serbuan di rumah suami isteri di Tanah Merah, semalam. FOTO Ihsan Polis.
DADAH yang dirampas polis ketika serbuan di rumah suami isteri di Tanah Merah, semalam. FOTO Ihsan Polis.
Kota Bharu: Guru dan suami isteri antara yang ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah dalam serbuan berasingan pada Sabtu lalu dan semalam.

Ujian saringan air kencing dua daripada mereka turut didapati positif dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, pihaknya menahan guru berusia 54 tahun di Kampung Bendang Luas, Tumpat pada 5 petang Sabtu lalu, disyaki memiliki dua pil kuda.

Menurutnya, penahanan itu susulan tangkapan ke atas lelaki Thailand bersama 30,000 biji pil kuda bernilai RM330,000 di pangkalan haram Kuala Jambu, Tumpat, pada 3 petang hari sama.

"Kesemua dadah itu dijumpai dalam beg dibawa suspek, disyaki di seludup dari Thailand untuk pasaran tempatan.

"Semakan mendapati guru dan lelaki Thailand itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, namun penyalahgunaan dadah dalam kalangan penjawat awam terutama guru adalah sangat tidak wajar," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selain Seksyen 39B ADB, manakala suspek direman tujuh hari hingga Sabtu ini untuk tindakan lanjut.

Muhammad Zaki berkata, suami isteri pula ditahan pada 12.45 tengah hari semalam di Kampung Kusial Bharu, Tanah Merah selepas disyaki memiliki ganja seberat 1.3 kilogram.

Katanya, serbuan selepas risikan dilakukan terhadap kediaman pasangan berusia 52 dan 47 tahun itu.

"Ujian saringan air kencing suspek lelaki didapati positif dadah dan dia juga mempunyai empat rekod kesalahan berkaitan dadah.

"Mereka direman tujuh hari bermula hari ini hingga 22 November untuk siasatan mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkongsi kejayaan Polis Kelantan menahan 630 orang dalam Ops Tapis Bersepadu yang dijalankan 6 hingga semalam, serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM470,354.78.

Katanya, kesemua tahanan berumur antara 14 hingga 59 tahun membabitkan 623 lelaki dan tujuh wanita termasuk tiga pelajar sekolah.

Selain itu, pelbagai harta disita dianggarkan bernilai RM10,968.15.

Tiada ulasan: