"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Thailand haramkan nikah bawah 17 tahun selepas lelaki Malaysia kahwini kanak-kanak 11 tahun

Sharifah Mahsinah Syed Abdullah
bhnews@bh.com.my
 
KOTA BHARU: Thailand menguatkuasakan undang-undang mengharamkan perkahwinan bawah 17 tahun selepas lelaki Malaysia melangsungkan pernikahan dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dari negara itu di Sungai Golok, selatan Thailand pada 2018.

Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat, berkata peraturan dikuatkuasakan pada tahun sama isu perkahwinan lelaki berusia 41 tahun itu mencetuskan kontroversi.

Katanya, peraturan berkenaan diluluskan Pusat Komuniti Islam Thailand bagi membendung kejadian seumpama itu daripada berulang.

"Perkahwinan antara lelaki berkenaan dengan kanak-kanak yang berusia empat kali lebih muda daripadanya pada 18 Jun 2018 sebagai isteri ketiga lelaki itu menggemparkan bukan sahaja di Thailand tetapi juga di Malaysia.

"Ia adalah pengalaman kali pertama bagi Majlis Agama Islam Narathiwat sejak ia ditubuhkan 30 tahun lalu.

"Sebelum ini, kami tidak pernah mengendalikan kes perkahwinan pasangan usia sebegini di Thailand dan ia adalah sejarah bagi kami," katanya.

Berikutan kes itu, beliau berkata pihak berkuasa Thailand telah mengarahkan pasangan itu menjalani perpisahan secara 'mufaraqah'

Pada 2018, Pusat Komuniti Islam Thailand mengharamkan perkahwinan kanak-kanak berusia 17 tahun ke bawah.

Peraturan itu juga diumumkan di semua masjid di negara itu termasuk di selatan Thailand.

Menurut Pengarah Koordinasi komuniti (Pejabat Islam Sheikhul), Wistu Binlateh, komuniti itu sudah meluluskan usul itu pada November, 2018.

Peraturan itu melarang mana-mana masjid memberi kebenaran untuk perkahwinan membabitkan kanak-kanak bawah 17 tahun melainkan ia mendapat kebenaran Mahkamah Syariah serta kebenaran ibu bapa dengan dokumen yang diluluskan oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Wilayah atau mana-mana balai polis tempatan.

Malah, satu jawatankuasa diwujudkan bagi membuat penilaian sebarang perkahwinan membabitkan kanak-kanak, dan memberi kebenaran jika ia bermanfaat buat pasangan.

Akhbar sebelum ini melaporkan lelaki tempatan berusia 41 tahun mengambil kanak-kanak bawah umur sebagai isteri ketiganya pada 18 Jun 2018.

Beberapa keping gambar menunjukkan lelaki berkenaan melangsungkan perkahwinan dengan kanak-kanak perempuan itu tular media sosial selepas perkara itu dikongsikan isteri kedua lelaki terbabit.

Tiada ulasan: