AFP
PHNOM PENH: Seorang wartawan Kemboja yang sedang melakukan siasatan mengenai isu aktiviti pembalakan haram di wilayah Siem Reap maut ditembak pada Rabu lalu.
Ketua Polis Wilayah Siem Reap, Huoth Sothy, berkata Chhoeung Chheung, 63, bertugas dengan organisasi berita tempatan Kampuchea Aphivath, ditembak di bahagian perut menggunakan senjata buatan sendiri pada waktu malam di kawasan hutan di wilayah Siem Reap.
"Mangsa ditembak selepas pergi untuk menyiasat isu pembalakan haram di hutan berkenaan sebelum mangsa dilaporkan meninggal dunia di hospital pada awal pagi tadi.
"Seorang suspek sudah ditahan dan mengaku menembak mangsa atas sebab perselisihan peribadi," katanya.
Editor Kampuchea Aphivath, Run Sareth tidak dapat dihubungi oleh AFP, bagaimanapun beliau memberitahu media tempatan, Kiripost bahawa mangsa sebelum ini berdepan dengan banyak ancaman daripada pembalak haram susulan laporan siasatannya itu.
Pengarah Eksekutif Persatuan Perikatan Wartawan Kemboja (CamboJA), Nop Vy, berkata kejadian itu adalah insiden yang amat dikesali kerana ia membabitkan seorang wartawan, terutamanya ketika wartawan berkenaan sedang menyiasat pembalakan di hutan simpan.
Menurut Pusat Hak Asasi Manusia Kemboja, sekurang-kurangnya 15 wartawan terbunuh di negara itu sejak 1994.
Pada 2014, Taing Try ditembak mati ketika menyiasat isu perdagangan kayu haram di wilayah Kratie, timur laut Kemboja. Tiga suspek iaitu seorang bekas tentera, seorang anggota polis dan seorang anggota polis tentera ditahan atas pembunuhan wartawan terbabit.
Isu perebutan sama ada mahu melindungi atau mengeksploitasi sumber semula jadi sudah lama menjadi isu kontroversi di Kemboja, dengan aktivis alam sekitar diancam, ditangkap dan dibunuh dalam tempoh 10 yang lalu.
Julai lalu, mahkamah di Kemboja menjatuhkan hukuman penjara antara enam hingga lapan tahun ke atas 10 aktivis tempatan.
Bulan lalu, seorang aktivis alam sekitar terkenal Kemboja yang menerima Anugerah Alam Sekitar Goldman 2016, Ouch Leng ditahan selama sehari bersama lima aktivis lain ketika melakukan siasatan pembalakan haram di sebuah taman negara di wilayah Stung Treng, timur laut negara itu.
Menurut aktivis, aktiviti pembalakan haram yang tidak terkawal menyumbang kepada penurunan mendadak dalam liputan hutan di Kemboja sejak beberapa tahun lalu.
Berdasarkan pemantauan Global Forest Watch dari 2002 hingga 2023, satu pertiga daripada hutan hujan primer Kemboja antara yang paling biodiversiti di dunia dan penyerap karbon utama telah hilang. – AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan