"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Himpunan PPSMI: Seorang Unit Amal direman,7 dibebaskan!

Nyza Ayob | Foto Wan Zahari Wan Salleh 
KUALA LUMPUR, 8 Mac (Hrkh) -
 Anggota Unit Amal, Laili Masran, 45, yang ditahan polis dalam Himpunan 100 ribu membantah PPSMI semalam dikenakan tahanan reman selama dua hari. Tujuh orang yang ditahan telah dibebaskan.

Menurut peguam Zulkarnain Lokman yang mewakili Laili yang hadir di Mahkamah Jalan Duta untuk permohonan reman hari ini menyatakan Laili ditahan di bawah Seksyen 117 atas tuduhan menyertai perhimpunan haram serta menghalang penjawat awam melaksanakan tugas

Laili merupakan Anggota Unit Amal Johor dan bekerja sebagai pemandu van Pasti di Batu Pahat, Johor.

Jelas Zulkarnain yang ditemui selepas membuat permohonan reman itu, Laily ditahan di lokap Balai Polis Dang Wangi dan maksimum ditahan reman sehingga petang esok.

Menurut Zulkarnain, beliau bertanya kepada Laily sama ada pihak polis mengasarinya, Laili menyatakan terdapat benjolan di bahagian kepala akibat dipukul anggota polis dan beliau juga mengadu kesakitan di dada.

Image"Saya minta supaya pihak polis membawa beliau membuat pemeriksaan kesihatan serta membuat laporan polis berhubung kecederaan tersebut,"katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah, Kamaruzzaman Mohamad yang ditemui di lobi mahkamah turut menyeru orang ramai agar memberi sokongan terhadap 'pembebasan' Laily di Balai Polis Dang Wangi jam 3.30 petang esok.

Turut hadir di mahkamah ialah Setiausaha GMP, Hasni Abbas.

Dalam pada itu, Naib Presiden Antarabangsa Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz yang turut hadir di Mahkamah mengkritik sekeras-kerasnya tindakan pihak keselamatan yang dilakukan terhadap rakyat yang menghadiri perhimpunan aman tersebut.

Beliau menjelaskan, memandangkan perhimpunan anjuran GMP itu mendapat permit, pihak polis tidak sewajarnya menggunakan kekerasan terhadap mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut.

Justeru, beliau berpandangan tindakan polis yang melepaskan gas pemedih mata pancutan air terhadap rakyat yang menyertai perhimpunan adalah sesuatu yang amat mengecewakan.

ImageBeliau juga melahirkan kekesalan dengan tidakan rambang pihak keselamatan yang mencederakan sebilangan besar kelompok wanita dan kanak-kanak serta orang awam yang tidak terlibat secara langsung dalam perhimpunan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekecewaan terhadap tindakan pihak polis yang menahan dua buah bas yang membawa wakil orang asli Perak dan penangkapan tanpa asas yang kukuh empat orang penyokong GMP termasuk Laili.

" Laili ditangkap hanya kerana mahu meleraikan provokasi yang dilakukan oleh pihak FRU terhadap aktivis PKPIM. Maka, PKPIM menghargai sepenuhnya tanggungjawab yang dilaksanakan beliau untuk memastikan keselamatan terkawal dan berjanji untuk memberi sokongan padu kepada beliau,"tegasnya.

Dalam pada itu, Muhamamad Faisal turut menafikan terdapat usaha untuk mempolitikkan perhimpunan aman ini dengan partisipasi langsung sebelah pihak dengan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis memohon maaf secara terbuka kepada seluruh pendukung GMP dan orang awam demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

Tiada ulasan: