"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: Pakej rangsangan tidak mampan

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata pakej rangsangan ekonomi RM60 bilion yang diumumkan Menteri Kewangan Najib Abdul Razak pada 10 Mac lalu tidak mapan mengatasi kemelut ekonomi hari ini.

Anwar berkata Pakej Rangsangan II ini tidak mampan kerana tidak menerapkan prinsip ketanggungjawaban dan ketelusan dalam rumusannya.

“Persoalan sebenar yang harus diberi perhatian ialah ketelusan dan pertanggungjawaban institusi serta memecahkan tembok psikologi rakyat terbanyak, peniaga juga pelabur agar yakin dengan pengurusan ekonomi negara,” tegas Anwar di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Najib Abdul Razak membentangkan Pakej Rangsangan II di Dewan Rakyat untuk menangani  kemelesetan ekonomi. Pakej RM60 bilion ini adalah susulan kepada Pakej Rangsangan I yang dibentang tahun lalu.

Pakej Rangsangan I yang mencecah RM7 bilion dikritik hebat dan menyerlahkan keraguan atas keupayaan Najib mengemudi ekonomi negara. 

Keputusan beliau untuk menggunakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan disalurkan ke firma ValueCap untuk menyelamatkan syarikat-syarikat terpilih mencetuskan bantahan ramai pihak. 

Kegagalan kerajaan Pusat melaksanakan reformasi sewajarnya bagi membasmi gejala rasuah dan kebocoran memburukkan lagi keadaan.

Anwar turut mempersoalkan Pakej Rangsangan II yang dilihat seolah-olah alat untuk menyelamatkan syarikat-syarikat tertentu.

“Apa yang membimbangkan saya ialah peruntukkan RM10 billion untuk pelaburan modal. Adakah ini akan digunakan untuk “bail-out” syarikat-syarikat tertentu?” soal Anwar.

“Kerajaan telah menyalur RM7 billion kepada Valuecap dimana RM5 billion dipinjam daripada KWSP. Apa dah jadi dengan nilai pelaburan yang dibuat oleh Valuecap sehingga kini?” kata beliau.

Ketanggungjawaban, pemulihan urustadbir yang baik, dan komitmen kepada ketelusan harus menjadi komponen utama pakej rangsangan ini, kata Anwar.

“Kerajaan memerlukan anjakan sikap, revolusi sikap, untuk mendapat dokongan rakyat. Jika tidak pakej ransangan ini akan dilihat sebagai usaha untuk membantu kroni yang sakit, dan monopolis yang rakus,” tegas Anwar.

Anwar turut melakar situasi ekonomi yang meruncing, meramalkan ekonomi akan menguncup setinggi lima peratus tahun ini. 

Walaupun pakej rangsangan ini diagih-agihkan, perkembangan ekonomi negara akan kekal di paras negatif.

“Untuk tahun 2009 perbelanjaan fiscal hanya melibatkan RM17.1 billion. Iaitu RM7.1 billion dalam pakej rangsangan pertama dan RM10 billion dalam pakej rangsangan kedua,” tegas Anwar.

“Berdasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi antara (-2) hingga (-5) % dan pakej rangsangan sebanyak RM17 billion untuk perbelanjaan fiscal maka ekonomi akan mengalami pertumbuhan hanya antara -1.8% (-5 + 3.2= -1.8)  hingga 1.2% (-2 +3.2=1.2) sahaja,” tambah beliau lagi.

Anwar Ibrahim turut memberi amaran Pakej Ransangan II ini diancam kebocoran yang serius ekoran pengagihan dana yang besar.

“Persoalannya bukan sekadar jumlah dana yang besar,” kata Anwar, 

“Ramai yang percaya menteri kewangan hanya akan menyebabkan negara berterusan mengalami krisis baik dari sudut ekonomi mahupun politik. Apatah lagi sekiranya yang bertanggungjawab untuk mengetuai pengurusan ekonomi sememangnya mempunyai rekod mengambil komisen serta terlibat dengan skandal rasuah,” tambah beliau.                                                                                                                                                                                           -tvantara.com-

Tiada ulasan: