"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wacana bincang isu Rukun Negara: Dr Puad Zakarshi tarik diri

Mohd Nor Yahya 
KOTA BHARU, 8 Mac (Hrkh) - 
Rukun Negara merupakan tonggak dan pedoman kepada rakyat Malaysia. Namun sekarang ada pihak yang tidak lagi menjunjung prinsip tersebut.

Mengapa ia berlaku, tentunya ada sebab dan musababnya.

Oleh itu bagi membolehkan rakyat Kelantan mengetahui dengan lebih jelas lagi, wacana perdana akan diadakan bagi membincangkan isu tersebut.

Wacana bertajuk 'Rukun Negara Didaulat atau Dicabar' akan diadakan pada 14 Mac ini bertempat di Balai Islam Lundang bermula jam 9 malam.

Ia dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, akhbar Harakah dan Sinar Harian.

Malangnya seorang ahli panel yang sebelum ini menyatakan setuju hadir membahas isu tersebut iaitu anggota Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi difahamkan menarik diri pagi tadi.Image

Ekoran itu hanya tinggal dua ahli panel iaitu anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dan Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya, manakala moderatornya Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusof.

Pihak penganjur menjelaskan biar pun Dr Puad tidak dapat hadir beliau kini berusaha mencari penggantinya bagi sama-sama membincangkan isu berkenaan.

Di parlimen, anggota parlimen Batu Pahat itu antara wakil rakyat BN paling lantang bersuara.

Sementara itu pengarah wacana perdana, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, tajuk berkaitan Rukun Negara dipilih kerana ia menjadi tumpuan masyarakat sekarang.

Menurutnya wacana membincangkan tajuk terbabit perlu diadakan kerana masyarakat sekarang keliru dengan isu yang berlaku terutamanya 'rampasan kuasa' di Perak Febuari lalu.

"Sedangkan setiap rukun bermatlamat untuk mewujudkan sebuah negara bangsa yang beragama dengan menjunjung kesetiaan kepada raja, menghormati perlembagaan dan mengamalkan undang-undang serta menjaga adat susila.

"Namun sekarang semakin ramai pihak yang berani mempertikaikan prinsip Rukun Negara, dan raja sebagai simbol dan payung negara telah diseret ke kancah politik," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat akhir bagi menjayakan program terbabit, kelmarin.

Turut hadir Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Rahman Yunus.

Oleh itu beliau berharap orang ramai meluangkan masa hadir mengikuti wacana tersebut untuk mendapat maklumat terkini politik negara dan pentafsiran sebenar terhadap prinsip Rukun Negara.

Wacana itu merupakan siri ketiga diadakan. Siri pertama pertengahan tahun lepas menampilkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Prof Dr Abdul Aziz Bari dari UIAM.

Wacana kedua akhir tahun lalu menampilkan Naib Presden PAS, Dato' Husam Musa dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Tiada ulasan: