"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sivakumar tidak boleh wakili diri sendiri

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri Perak V.Sivakumar tidak boleh mewakili dirinya sendiri dalam satu permohonan oleh tiga wakil rakyat Bebas bagi mengisytiharkan sebagai tidak sah keputusan beliau melibatkan kedudukan mereka, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim memutuskan bahawa Sivakumar hanya boleh diwakili oleh Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri.

Beliau membuat keputusan itu dalam kamarnya mengikut Seksyen 24 (3) Akta Prosiding Kerajaan selepas membenarkan bantahan awal pihak plaintif yang mempertikai permohonan Sivakumar untuk mewakili diri sendiri.

Ketiga-tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kpt (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi masing-masing tidak kosong dan mereka masih wakil rakyat yang sah setelah Sivakumar memutuskan yang mereka telah mengosongkannya.

Bulan lepas, ketigatiga wakil rakyat itu keluar parti masingmasing, iaitu Jamaluddin dan Mohd Osman daripada Parti Keadilan Rakyat dan Hee daripada DAP, dan ini mendorong Sivakumar mengisytiharkan tiga kerusi itu kosong kerana mendakwa mereka telah menandatangani surat peletakan jawatan selepas menang dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.

Khamis lepas Ridwan memutuskan bahawa Sivakumar hanya boleh diwakili oleh Penasihat Undangundang Kerajaan Negeri dan bukannya peguam swasta dalam permohonan bagi mengisytiharkan sebagai tidak sah dua keputusan beliau melibatkan Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, enam anggota exco dan tiga wakil rakyat Bebas berkenaan.

Di luar mahkamah, peguam utama plaintif, Datuk Mohd Hafarizam Harun, berkata mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan mereka bagi pengisytiharan berkenaan.

Peguam Chan Kok Keong yang mewakili Sivakumar pula berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan hari ini dan terhadap keputusan mahkamah pada Khamis lepas.

Khamis lepas mahkamah telah menetapkan 23 Mac ini bagi mendengar dan membuat keputusan berhubung permohonan yang difailkan oleh Zambry bersama-sama enam exco kerajaan negeri memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang mereka daripada menghadiri persidangan sebagai tidak sah dan terbatal. BERNAMA


Tiada ulasan: