"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khir Toyo saran SPRM siasat selepas perhimpunan Umno

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Hrkh) - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta tidak tergesa-gesa mengejar tarikh Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung tidak lama lagi bagi menjalankan siasatan terhadap mana-mana calon bertanding.

Ini kerana, tindakan berkenaan bukan sahaja boleh menyebabkan hasil siasatan tidak sempurna, malah mungkin akan wujud penganiayaan di kalangan calon yang belum terbukti bersalah.

Calon Ketua Pemuda Umno, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata, siasatan SPRM terhadap calon yang bertanding adalah baik tetapi tidak semestinya ia perlu dibuat sebelum perwakilan berlangsung.

Sebaliknya, beliau berpendapat, siasatan boleh dilakukan selepas itu dan secara berterusan bagi memastikan siasatan yang dilakukan lebih teratur.

"Kita tahu SPRM mempunyai prosedur siasatan tersendiri. Kita amat berharap, di samping berusaha untuk bersihkan parti, jangan ada yang teraniaya dan siasatan perlu dibuat dengan baik, teliti tanpa menganiaya mana-mana pihak.

"Kalau buat tergesa-gesa, saya bimbang ada yang teraniaya dan ini akan memberi imej buruk kepada parti," katanya yang dipetik daripada portal akhbar.

Khir berkata demikian ketika mengulas sikap keterbukaan yang diambil berhubung ketegasan SPRM dalam memastikan tidak wujud amalan rasuah menjelang pemilihan Umno bermula 24 Mac ini.

Bagaimanapun kenyataan bekas Menteri Besar Selangor itu bertentangan dengan pendapat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dalam kenyataannya menerusi blog rasminya semalam.

Dalam kenyataannya, beliau melahirkan rasa bimbang, tiada seorang pun dalam UMNO yang dikatakan terlibat dengan politik wang akan didapati bersalah menjelang pemilihan ekoran tiada sebarang siasatan dijalankan setakat ini.

Tiada ulasan: