"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Mahathir Bapa Penderhaka Raja-Raja Melayu



 

Umno sudah ketandusan pemimpin yang wibawa dan diterima rakyat sehingga terpaksa menggunakan khidmat mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad untuk meraih undi bagi parti tersebut.

Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali berkata perubahan pucuk pimpinan negara yang berlaku baru-baru tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat kerana mereka sedar Umno dan barisan Nasional masaih mengekalkan dasar dan amalan lama yang menindas dan menafikan hak rakyat.

"Semalam seluruh parti PPP Kedah yang dipimpin oleh Naib Presidennya telah dibubarkan. Ini menunjukkan walaupun berlaku perubahan kepimpinan negara rakyat tidak menaruh keyakinan terhadap Perdana Menteri baru, Najib Razak.
"Ini kerana mereka hanya tukar baju tapi isi yang sama, dasarnya sama," kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penyokong Pakatan Rakyat pada ceramah umum  di tapak ekspo di Simpang, Taiping malam tadi.

Azmin seterusnya menyelar Dr Mahathir yang digelarnya Bapa Penderhaka Raja-Raja Melayu kerana peranan besar beliau dalam menghakis kuasa serta martabat raja-raja Melayu semasa pemerintahannya.

Ini termasuk membuat pindaan perlembagaan untuk mengurangkan kuasa Yang DiPertuan Agong pada 1983, menubuhkan Mahkamah Khas untuk mendakwa raja-raja termasuk YDP Agong dan menghina institusi raja melalui media kawalan Umno dan BN.

"Saya ingin meminta kepada rakyat Bukit Gantang supaya bertanyakan hal-hal ini kepada Dr Mahathir apabila beliau turun padang kelak ke sini.
"Saya mahu tengok adakah dia berani menjawab pertanyaan daripada rakyat Bukit Gantang dan rakyat akhirnya akan tahu bahawa dia lah Bapa Penderhaka Raja-Raja Melayu sebenarnya bukannya Pakatan Rakyat yang difitnah selama ini," tegas Azmin lagi.

Ahli Parlimen Gombak itu juga mendedahkan sikap hipokrit Umno bahawa parti itulah yang memperjuangkan Islam tetapi sebenarnya parti itulah yang membinasakan agama.

Ini dibuktikan oleh pembelian 20 peratus kepentingan dalam syarikat arak Filipina, San Miguel oleh anak Dr Mahathir, Mirzan.

Antara isu lain yang disentuh Azmin termasuklah isu pembunuhan wanita Monggolia, Altantuya Shaariibuu dan penjelasan mengenai pemberian tanah kepada rakyat miskin Melayu, Cina dan Orang Asli semasa tempoh sepuluh bulan pemerintahan Pakatan Rakyat.

Azmin juga mengambil kesempatan untuk menasihatkan pengundi P059 Bukit Gantang supaya keluar awal untuk mengundi kerana cuaca hujan pada sebelah petang.

"Saya juga memberi amaran keras kepada hantu-hantu yang berniat untuk datang ke Bukit Gantang membuang undi. Kita sudah bersedia untuk menangkap hantu-hantu ini kerana saya ada sedikit pengalaman menangkap mereka semasa di Lunas dulu," tegas beliau.

Turut hadir memberi ceramah termasuk Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming. 

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: