"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Panduan jual arak bukan retorik politik

Garis panduan Pemuda PAS bagi mengawal jualan arak di negeri-negeri Pakatan Rakyat bukanlah retorik politik bagi meraih sokongan pengundi ketika pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, bermula 3 Oktober ini.

Timbalan ketuanya Azman Shapawi Abd Rani berkata panduan itu sekadar cadangan yang perlu dibincangkan lanjut dalam Majlis Pemuda Pakatan Rakyat (Mampat).

"Waktu bincang itu, kita tidak tahu lagi bila pilihan raya (Bagan Pinang). Kita bincang lama sudah. Kita tidak ada niat hendak dapatkan kepentingan politik. Lagipun perkara ini akan libatkan banyak pihak.

"Kita ada pertemuan bulanan (Mampat) pada 16 September ini. Jika diminta, kita akan berikan penjelasan," katanya kepada
Malaysiakini.

Bagaimanapun, seorang exconya Ahmad Yahya tidak menolak kemungkinan isu itu akan digunakan PAS sebagai modal pilihan raya sekiranya perlu.

"(Cadangan) itu secara kebetulan sahaja. Waktu kita bincang, perkara itu tidak timbul pun pasal Bagan Pinang, sebaliknya masalah sosial telah berleluasa," katanya, yang juga ketua Pemuda PAS Kedah.

"Macam kita tengok dalam majalah, ada anak gadis minum sampai mabuk teruk. Itu dua perkara yang berbeza. Tetapi kalau itu boleh guna, biasalah."

Kedua-dua pemimpin dewan itu diminta mengulas sama ada hasrat dewan itu untuk mengemukakan cadangan tersebut semata-mata retorik politik PAS bagi memenangi hati pengundi Melayu di kerusi Negeri Sembilan itu.

Dihubungi hari ini, Azman menjelaskan, Pemuda PAS berhasrat penguatkuasaan dan peruntukan syariah berhubung jualan alkohol yang sedia ada di negeri Pakatan - selain Kelantan - diperhalusi dan diperkemaskan lagi.

Tambahnya, beberapa siri perbincangan, bermula 10 Oktober ini, akan dianjurkan bagi mendapat pandangan pelbagai pihak, termasuk pakar bagi merangka cadangan itu.

"Kita sasarkan selewatnya hujung tahun ini akan selesai (kertas cadangan)," katanya.

Diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam yang dilaporkan melahirkan rasa terkejutnya dengan hasrat Pemuda PAS, Azman berkata:

"Kita bukan minta haram secara total. Mungkin ada silap faham. Orang bukan Islam hendak minum arak boleh, tetapi mesti ada tatacaranya. Kalau hendak minum dalam bas tidak bolehlah. Kita cuma hendak bantu (beri pandangan)."

Azizan dilaporkan beranggapan cadangan Pemuda PAS bukan keperluan mendesak kerana Kedah sudah ada undang-undang sendiri berhubung kaedah penjualan minuman itu.

Beliau juga melahirkan rasa terkejutnya mengenai cadangan supaya kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan mengharamkan terus penjualan arak di negeri yang mempunyai majoriti umat Islam.

"Bila pula Dewan Pemuda Pas ada kuasa ke atas kerajaan negeri," Azizan dipetik sebagai berkata.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: