"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Daya Saing Malaysia Corot

Rusnizam Mahat.

Kerajaan Umno-Barisan Nasional sekali lagi mencatat reputasi memalukan apabila jatuh tiga takuk ke kedudukan 24 dalam Senarai Daya Saing Global yang diumumkan baru-baru ini.

Laporan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) untuk tahun 2009-2010 itu menunjukkan Malaysia semakin tertinggal dalam saingan menarik pelaburan berbanding negara jiran, Singapura yang naik ke tangga ketiga.

Antara faktor yang menjejaskan kemampuan Malaysia bersaing di persada ekonomi antarabangsa ialah kebimbangan yang semakin menular terhadap tahap keselamatan di Malaysia.

Kadar jenayah yang semakin meningkat dan potensi keganasan yang makin menyerlah menyebabkan Malaysia jatuh dari tangga 25 kepada 85 dalam indeks keselamatan yang membabitkan 133 negara.

Risiko keselamatan yang semakin tinggi menyebabkan pelabur dipengaruhi oleh keperluan kos yang lebih tinggi jika mereka menanam modal di Malaysia berbanding dengan negara lain di Asia.

BN pimpinan Najib Razak baru-baru ini melanjutkan kontrak Ketua Polis Negara Musa Hassan untuk tempoh setahun lagi, meskipun dikecam hebat oleh Pakatan Rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan kerana kadar jenayah yang semakin meningkat.

Turut membimbangkan ialah fenomena penyeludupan manusia dalam bentuk pekerja asing tanpa permit dan pelacur dari negara-negara seperti China yang semakin berleluasa sehingga dikecam oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Selain aspek jenayah yang meningkat, turut menjadi kebimbangan pelabur ialah defisit bajet yang meningkat pada 2008, merangkumi hampir lima peratus keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menurut laporan itu, setiap petunjuk mengenai Malaysia menunjukkan aliran menurun sejak
2007, menyebabkan kedudukan Malaysia jatuh dari tempat ke 17 ke tangga 43 dalam masa dua tahun.

Switzerland menduduki tempat teratas dalam daya saing ekonomi global, menggantikan Amerika Syarikat yang jatuh ke tempat kedua.

Asia terus mempamerkan kedudukan kukuh dengan Singapura di tempat ke tiga dan Jepun ke lapan, manakala Hong Kong, Korea Selatan dan Thailand berada dalam senarai 20 negara yang mempunyai daya saing ekonomi terbaik.

WEF ialah institusi yang mengukur tahap produktiviti, dayatahan dan kekayaan sesebuah negara.

Organisasi ini menilai negara berasaskan 12 faktor termasuk infrastruktur, kestabilan makro ekonomi, kesihatan, pendidikan, makanan, kecekapan buruh, kewangan pasaran, teknologi, inovasi dan saiz pasaran.

Ukuran daya saing global sangat penting bagi panduan pelabur antarabangsa untuk membantu mereka membuat keputusan dalam pelaburan.

Negara-negara akan bersaing untuk menyediakan persekitaran saingan berasaskan faktor-faktor ini bagi menarik minat pelabur untuk membawa masuk modal mereka.

Pengerusi bagi ASLI- Pusat Kajian Dasar Awam, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata kebanyakan pemimpin membuat kesilapan dengan mengukur daya saing dari aspek ekonomi dan perniagaan sahaja.

Namun ujarnya, pendapat itu meleset kerana pelabur meletakkan nilai yang tinggi terhadap elemen
sosio-ekonomi lain seperti kualiti hidup, hak asasi manusia, keselamatan, urus tadbir baik dan perpaduan rakyat.

Bekas Penasihat Bank Negara dan bekas Presiden Transparency International (Malaysia), Tunku Abdul Aziz Ibrahim sebelum ini berkata penggubal dasar perlu bijak menilai kekuatan ekonomi negara sebenar.

"Terdapat banyak faktor luaran yang mungkin bukan dalam kawalan kita, Tetapi dari segi dalaman, kita perlu melihat kekuatan kita, Adakah ia berdaya tahan? Kita perlu bekerja keras untuk menguatkan dayasaing kita dan menggunakan sumber negara dengan lebih efisien dan bukan bertindak sebaliknya," kata beliau.

-Suara Keadilan-

Tiada ulasan: