"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keputusan Pendaftar Pertubuhan Digantung

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan penggantungan perlaksanaan keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis).

Bagaimanapun Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof yang membuat keputusan itu di dalam kamar memutuskan Kompleks Wawasan Balkis boleh diuruskan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti) sehingga tamat kes tersebut.

Peguam Derek J Fernandez yang mewakili kerajaan negeri Selangor (pemohon) memberitahu pemberita bahawa pengurusan aset-aset lain seperti wang tabungan turut digantung dan ia tidak boleh digunakan.

"Kami berpuas hati dengan keputusan ini dan ia menjamin aset tidak terjejas.

"Mengenai Kompleks Wawasan, kami tiada masalah dengan perkara itu, lagipun ia adalah tempat untuk kanak-kanak belajar dan bermain," katanya.

Tahun lalu, Balkis mendapat perhatian media tempatan selepas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendakwa berlaku penyelewengan dana dalam persatuan itu.

Permohonan kebenaran itu difailkan kerajaan Selangor, isteri Abdul Khalid iaitu Puan Sri Salbiah Tunut, yang juga Yang Dipertua Balkis, Permodalan Negeri Selangor Berhad, Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor dan lima lagi pihak untuk mengetepikan keputusan ROS.

Mereka menamakan ROS sebagai responden, memohon pengisytiharan bahawa keputusan ROS membubarkan Balkis adalah batal dan tidak sah dan perintah supaya badan itu dihidupkan semula.

Responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Fajrul Shihar Abu Samah.
-BERNAMA-

Tiada ulasan: