"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS serius mahu tembusi kem askar

Bagi mendapatkan undi pemilih pos – yang sering dicurigai hanya memenangkan calon BN – di Bagan Pinang, Pemuda PAS berhempas-pulas untuk menembusi kem-kem tentera dan balai polis.

"Kita akan minta kebenaran daripada komandan kem untuk masuk berkempen.

"Kalau tidak boleh masuk ke dalam (kem), di tepi pagar pun kita akan pergi," kata ketua penerangan dewan itu Suhaizan Kaiat hari ini.

Suhaizan, yang juga pengerusi jawatankuasa undi pos Pemuda PAS, menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendesak calon-calon parti bertanding, khususnya pembangkang, diberikan ruang berkempen di kawasan-kawasan tersebut.

Dalam memorandum tersebut, Pemuda PAS turut membantah keras penggunaan Borang 2 – yang merekodkan maklumat peribadi pemilih polis dan nombor siri kertas undi – dan penetapan tempat khusus bagi pembuangan undi secara pos.

Daripada 13,664 pemilih berdaftar di Bagan Pinang yang layak membuang undi pada 11 Oktober ini, 4,604 terdiri daripada pemilih pos.

PAS sejak awal minggu lepas membangkitkan kembali isu undi pos.

Parti itu malah mendakwa mantan pengerusi SPR Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman pernah berjanji untuk mengkaji semula prosedur undi pos.

Dihubungi
Malaysiakinipetang ini, Suhaizan menambah, jika terdapat halangan berkempen di kalangan anggota pasukan pertahanan itu, PAS masih berharap dapat mendekati pengundi melalui risalah di depan pintu masuk kem.

Beliau, juga ketua Pemuda PAS Johor, berkata usaha mendekati pemilih pos di kem-kem tentera dan balai polis akan digiatkan selepas sambutan Aidilfitri, beberapa hari lagi.

Sayap PAS itu bercadang mengirim surat kepada Kem Tentera Port Dickson, Teluk Kemang bagi mendapatkan kebenaran berkempen sempena pilihan raya kecil Bagan Pinang, bermula 3 Oktober nanti.

Diminta mengulas butiran pertemuan dengan seorang pegawai SPR di Putrajaya, Suhaizan berkata, suruhanjaya itu berjanji akan mempertimbangkan tuntutan dalam memorandum tersebut.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: