Mohd Jamilul Anbia Md Denin
KUALA LUMPUR: Tersepit dengan kemiskinan seorang ibu sanggup melacurkan diri dengan meninggalkan tujuh anaknya di Pahang sejak awal Ramadan lalu, semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membeli pakaian raya baru anak-anaknya sempena Aidilfitri.
Ibu terbabit mendakwa apa yang dilakukannya pengorbanan kecil bagi memastikan anak-anaknya dapat menyarung baju raya selain bergembira seperti kanak-kanak lain.
Aktiviti ibu berkenaan dibongkar wartawan Harian Metro yang membuat tinjauan ke sebuah rumah pelacuran di Jalan Thamby Pillay, Jalan Brickfields di sini dan menemuinya yang menawarkan seks pada caj RM40 untuk sekali perkhidmatan.
Selepas dipujuk dan dibayar sejumlah wang, ibu terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Mek, 43, bersetuju mendedahkan kepayahan hidupnya hingga terpaksa menjadi pelacur pada bulan Ramadan.
Menurutnya, dia terdesak untuk membesarkan tujuh anak berusia empat hingga 18 tahun selepas ditinggalkan suami yang juga seorang penagih dadah tegar.
“Kali terakhir selepas dibebaskan dari pusat pemulihan di Kuala Lipis, Pahang, Januari tahun lalu, dia hanya insaf sebulan di rumah sebelum kembali terjebak atas hasutan kawan-kawan lamanya,” katanya yang berkahwin pada usia 18 tahun.
Menurutnya, kehidupan suaminya itu menyebabkan dia dan anak-anak terabai.
“Hidup saya susah dan banyak bergantung belas ihsan keluarga, selain hasil pajakan seekar dusun buah-buahan.
“Kesempitan hidup saya menjerut perasaan dan diri saya selepas dipujuk rakan lama sekolah supaya berhijrah ke ibu kota untuk menjalankan kegiatan pelacuran dengan dijanjikan pendapatan lumayan,” katanya.
Mek berkata, walaupun mulanya malu, namun dia menebalkan muka demi memastikan nasib anak-anaknya yang ditinggalkan sementara bersama ibu bapanya tidak terus sengsara.
“Walaupun mulanya, Ila (rakannya) memberitahu pekerjaannya sebagai GRO atau teman minum pengunjung kelab dangdut di Chow Kit, namun saya sebaliknya dibawa ke sebuah rumah tumpangan di Brickfields.
“Di situ, saya diperkenalkan kepada seorang lelaki yang juga ‘bapa ayam’ sebelum ditawarkan ‘kerja’ pelacur dengan pendapatan RM20 bagi setiap pelanggan. Lelaki itu menerima komisen RM20 bagi sewa bilik yang saya gunakan,” katanya.
Menurutnya, walaupun pada mulanya dia ‘segan’ untuk menawarkan khidmat seks ‘pakej’, namun dia berubah fikiran apabila mendapati kerjaya barunya itu amat mudah dan tidak memenatkan.
“Sebelum bertolak ke ibu kota, tiga minggu lalu, saya menipu keluarga dan anak-anak kononnya ingin membantu rakan berniaga tudung sempena Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini.
“Kerja saya bermula jam 9 pagi dan tamat jam 10 atau 11 malam. Dalam tempoh berkenaan saya memperoleh tidak kurang 10 pelanggan. Jika ditolak komisen, saya mengutip RM200 sehari,” katanya yang mendakwa turut ditemani lima rakan lain.
Katanya, dia diberikan kondom dan buku nota kecil oleh bapa ayam yang digunakan bagi menanda jumlah pelanggan diperoleh setiap hari sebelum pendapatannya itu dibayar serentak setiap hujung minggu.
“Setakat semalam, saya mengutip lebih RM5,400 dan separuh sudah saya kirimkan ke kampung halaman untuk persiapan menyambut Aidilfitri.
“Malah, saya menggunakan cuti Ahad lalu untuk membelikan baju Melayu, songkok dan baju kurung untuk tujuh anak saya,” katanya.
Ditanya, sama ada dia sedar wang digunakan terbabit haram di sisi Islam, Mek memberi alasan dia tidak mempunyai pilihan lain apatah lagi dengan tahap pendidikannya yang rendah.
“Biar dosa ini ditanggung saya. Lagipun saya melakukan kerja ini hanya untuk sebulan sebelum kembali semula ke kampung di Pahang untuk menyambut hari raya bersama anak-anak.
“Lebih penting, anak saya tidak berlapar dan mampu tersenyum dan memakai baju baru di pagi raya. Jika keadaan masih tidak berubah dan saya masih gagal mendapat kerja tetap selepas ini...ada kemungkinan saya akan kembali semula ke sini,” katanya tanpa rasa kesal pada riak wajahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan