A Kadir Jasin
MENURUT The Star Online, presiden MIC S. Samy Vellu mengherdik para pengkritiknya. Kata presiden MIC itu, orang India tidak mengundi Barisan Nasional bukan kerana meluat (fed-up) dengan beliau, tetapi meluat dengan BN.
Baguslah kalau Samy Vellu mengaku secara terbuka bahawa orang India menyampah dengan BN. Itu permulaan yang positif jika BN berhasrat kembali menawan hati pengundi.
Tetapi untuk mengatakan orang India tidak meluat dengan Samy Vellu pun tidak betul juga.
Saya rasa ramai wartawan cukup kenal dengan Samy Vellu. Maklumlah dia sudah menjadi ketua MIC selama 30 tahun. Dialah antara pembesar BN yang “terpaksa” ditatang ibarat minyak panas yang penuh. Kalau tidak dia mesti melenting. Tapi hendak ambil hati dia pun mudah. Puji.
Banyak orang India yang meluat dengan Samy Vellu, macam orang Cina meluat dengan pembesar MCA dan Gerakan, dan orang Melayu dengan pembesar Umno.
PKR, DAP dan Pas mencatat prestasi baik dalam pilihan raya umum 2008 kerana ramai penyokong BN berpaling tadah akibat benci dengan tingkah-laku dan tindak-tanduk pembesar parti-parti BN.
Saya yakin pembesar PKR, DAP dan Pas mengakui hakikat ini. Sebab itulah sampai hari ini pun mereka masih belum berani untuk menubuhkan Pakatan Rakyat secara rasmi dan bertanding dengan satu simbol.
Mereka takut penyakit BN menjangkiti mereka. Jadi mereka lebih suka bersekedudukan daripada duduk di bawah satu bumbung secara rasmi.
Sebenarnya faktor benci, menyampah dan fed-up inilah yang menjadi punca orang Melayu tidak keluar mengundi, orang Melayu rosakkan undi dan orang Melayu pangkah calon Pas, PKR dan DAP.
Apatah lagilah orang bukan Melayu. Kalau orang Melayu benci Umno, orang bukan Melayu tentulah lebih kebenci kepada BN. Adalah hakikat bahawa pengundi bukan Melayu mirip memihak kepada yang kuat. Ini cara mereka menjaga hak dan kepentingan mereka sebagai kaum-kaum kecil.
Setelah menang besar pada tahun 2004, Umno menjadi bongkak. Pemimpin Umno lupa diri. Umno, pentadbiran kerajaan dan media massa dilihat sebagai telah dilarikan (hijacked) oleh beberapa kerat saudara mara dan kawan taulan pembesar teratas parti.
Orang India dan Cina turut meluat dengan kepemimpinan parti mereka kerana dilihat bersekongkol dengan pentadbiran yang hanya manis di mulut, pandai membuat slogan dan hebat memutar-belitkan kandungan media massa yang mereka kuasai.
Akibatnya, BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan kalah di enam buah negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Samy Vellu dan Koh Tsu Koon tewas dan perwakilan bukan Melayu dalam BN merosot dengan teruk.
Kalau para pembesar BN masih tidak mahu melihat ke dalam diri, masih berasa diri mereka tidak bersalah dan terus mengamalkan perangai bodoh sombong jangan salahkan ahli dan penyokong parti jika mereka terus ditolak.
Kekuatan PKR, DAP dan Pas hanyalah cerminan (reflection) kelemahan BN dan parti-parti gabungannya!
PKR, DAP dan Pas juga mempunyai masalah seperti kemelut dalaman parti, perbalahan dalam perkongsian kuasa, pembelotan oleh wakil rakyat dan berbagai bentuk skandal -- daripada tuduhan salah laku seks kepada gambar bogel, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pembabitan dalam kegiatan kongsi gelap.
Tidak salah kalau ahli MIC mahu Samy Vellu jadi presiden seumur hidup atau Samy Vellu mahu mati dalam jawatan. Tetapi menyalahkan orang lain bagi menutup kelemahan sendiri tidak akan membawa parti orang Tamil itu ke mana-mana.
Begitu juga dengan MCA yang semakin hangat krisis dalamannya. Perwakilan parti mungkin boleh menerima ketua yang terbabit dengan skandal seks. Tetapi untuk kembali cergas semula dalam politik pilihan raya adalah perkara lain.
Mungkin dalam hal ini, BN lebih baik daripada lawannya. Sekurang-kurangnya dalam BN, pembesar yang terbabit atau disyaki terbabit dengan skandal seks tidak diterima kembali untuk memimpin. Seks dan rasuah adalah racun dalam politik.
Kesimpulannya mudah saja. Pembesar BN boleh saling tuduh menuduh. Boleh cuci tangan. Boleh berpura-pura seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Malah mereka boleh berasa mereka kuat kerana banyak pegawai kerajaan, penggiat parti dan orang ramai menyambut mereka dengan meriah di majlis-majlis keramaian.
Mereka boleh berasa seronok dengan puji-pujian, sanjungan, anugerah, gelaran dan laporan media massa yang berjela-jela.
Tetapi kalau prestasi mereka tidak memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat jelata atau mereka masih dianggap sombong, bongkak, rasuah dan tidak mendengar nasihat, maka tunggulah pilihan raya akan datang. Tiga puluh enam bulan tidak lama.
Rahsianya bukan susah sangat. Tahun lalu, pengundi --termasuk ahli dan penyokong Umno – menolak BN kerana “benci” dengan tingkah laku segelintir pembesar Umno dan BN.
Kurangkan atau hapuskan faktor benci ini, harapan BN kembali disokong adalah cerah. Lebih baik kalau mereka boleh kembalikan rasa rindu.
PKR, DAP dan Pas sedar hal ini. Oleh sebab itulah mereka menjadikan kebencian terhadap kepemimpinan BN sebagai asas utama kempen mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan