Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan negeri pada 1 September telah menerima jawab balas kepada satu surat tunjuk sebab kepada wakil rakyat terbabit bagi membincangkan permasalahan ini.
“Sebenarnya kita sudah ada menghantar surat tunjuk sebab kepada dia dan dia pun telah membalas surat tersebut dan memberi jawapan kepada perkara-perkara yang kita bangkitkanlah.
“Sekarang, Insyaallah kita akan atur bertemu dengan peimimpin parti dalam masa terdekat untuk berbincang lebih lanjut. Jadi itulah sekarang status YB Badrul,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Klang.
Kerajaan Negeri sebelum ini memberikan tempoh 14 hari kepada Badrul untuk memberi jawapan berhubung statusnya sebagai wakil rakyat. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan wakil rakyat itu supaya mendapatkan rawatan doktor bagi mengatasi masalah kesihatan yang dihadapinya.
Bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas, Pakatan Rakyat mempertanggungjawabkan beberapa ADUN dan Ahli Parlimen untuk membantu tugasan Badrul di Pelabuhan Klang.
Nazmi berkata tempoh 14 hari yang diberikan kepada Badrul untuk memberi jawapan telah pun berakhir pada hari ini dan akan mempertimbangkan keputusannya dalam masa terdekat.
“YB Badrul masih lagi ADUN dan kita membantu untuk menguruskan dari segi peruntukan, pengurusan pusat khidmat DUN dan sebagainya," katanya.
-tvantara.com-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan