"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syawal pilu

Mohamad Hussin dan Omar Osman


ALOR STAR: “Sambutan Aidlifitri tahun ini sudah tidak bermakna kerana ibu bapa dan dua kakak sudah tiada.

“Semua persiapan menyambut Syawal yang disediakan ibu sejak awal Ramadan, termasuk membeli baju raya akan menjadi kenangan selama-selamanya,” kata Aiman Syafiqah, 14, anak kelima pasangan suami isteri, Yusof Ahmad, 53, dan Hasnah Hamzah, 52, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 94.7, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Gurun di sini, semalam.

Turut terbunuh dua anak mereka, Hazwani Izati, 23, dan Hafizatul Halimi, 20.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Perodua Myvi yang dinaiki empat beranak itu terbakar dan meletup selepas merempuh lori kontena yang terbalik dan melintang jalan di lebuh raya berkenaan.

Kemalangan itu turut membabitkan sebuah Perodua ViVA dan Naza Citra. Kedua-dua pemandu kenderaan itu turut cedera parah selepas merempuh lori kontena berkenaan.

Aiman Syafiqah berkata, tiada yang paling menyedihkan melainkan orang yang paling disayangi pergi menghadap Ilahi buat selama-lamanya, menjelang kehadiran Syawal.

“Saya tidak tahu kenapa begitu teringin mengikut mereka ke Pulau Pinang pagi tadi (semalam) untuk menemani ayah menjalani rawatan susulan penyakit ketumbuhan di perutnya di sebuah hospital di sana.

“Selepas bersahur bersama pagi tadi (semalam), ayah, ibu dan dua kakak bersiap untuk ke Pulau Pinang kira-kira jam 5.30 pagi.

“Saya dan adik merayu mahu mengikut ayah, namun ayah melarang sebelum meminta kami menjaga rumah dan berjanji pulang awal.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 10 pagi dua anggota polis datang ke rumah, memaklumkan mengenai kecelakaan yang mengorbankan empat anggota keluarga saya. Saya dan adik menangis berpelukan,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Nuri di sini, semalam.

Anak bongsu pasangan itu, Aiman Najwa, 10, yang berada di sisi kakaknya tidak henti-henti menitiskan air mata mengenangkan pemergiaan ibu bapa dan dua kakaknya dalam sekelip mata, apatah lagi ketika umat Islam bakal menyambut Aidilfitri.

Pasangan terbabit meninggalkan empat anak perempuan iaitu Farah Yuziana, 29, dan Farah Wahida, 25, Aiman Syafiqah dan Aiman Najwa. Dua lagi kakak mereka iaitu Farah Yuziana dan Farah Wahida tidak tinggal bersama keluarga kerana masing-masing bekerja di Putrajaya dan Teluk Intan, Perak.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi kediaman keluarga mangsa di Taman Nuri di sini, yang dikunjungi sanak saudara serta jiran tetangga sebaik menerima berita mengenai kematian empat sekeluarga itu.

Difahamkan, jenazah empat beranak itu akan dibawa pulang ke kampung Hasnah di Malau, Jitra, untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam, di sana.
-hmetro.com.my-

Tiada ulasan: