"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Isu Arak & MB Kedah : Wartawan tanya lain tulis cerita lain...

Isu Arak : Cadangan 'DPPP' Mesti Lebih Kemas Daripada Peraturan Sedia Ada

oleh Mohamad Sanusi Md Nor (Setpol MB)


Saya berada di sebelah MB Kedah sewaktu wartawan akhbar cina mengajukan pertanyaan tentang hasrat Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengemukakan ‘pekeliling’ untuk menghadkan penjualan arak di kawaan majoriti penduduk Islam di Negeri Pakatan Rakyat.

Istilah ‘pekeliling’ ini yang mengundang jawapan daripada MB bahawa DPPP tiada local standi untuk mengeluarkan apa-apa pekeliling kepada kerajaan negeri. Pekeliling biasanya hanya dikeluarkan oleh KSU Kementerian, JPA dan Setiausaha Kerajaan. Hari ini apabila akhbar menulis tentang ‘kertas cadangan’ (bukan pekeliling) daripada DPPP, barulah terang isu local standi dan ‘hak’ DPPP ke atas kerajaan negeri sebenarnya tidak timbul.


MB menambah lagi bahawa isu penjualan arak ini perlu dilihat dari semua sudut (Enekmen Kerajaan Negeri, Akta Parlimen, penguatkuasaan undang-undang, hak bukan Islam dan kesan buruk arak kepada masyarakat umum seluruhnya - penulis), tidak boleh dibuat dasar umum bagi semua negeri sehingga wujud ruang bagi sesetengah pihak mendakwa Kerajaan Negeri menafikan hak bukan Islam meminum arak.

Arak bagi agama lain tidak dilarang, tetapi apabila peminumnya mabuk ia bukan sahaja memudaratkan peminum, tetapi mendatangkan kesan yang buruk kepada masyarakat. Kedah sedang meneliti langkah-langkah yang perlu dari semua sudut dalam isu ini supaya dapat ditangani sebaik mungkin. Ia jangan sampai menimbulkan isu sampingan seterusnya ia bakal mengundang polemik yang berpanjangan seperti yang berlaku di sesetengah negeri. Ini yang disebutkan oleh MB Kedah kepada wartawan.

Buat masa ini, Enekmen dan undang-undang berkaitannya yang ada di Kedah sudah ada untuk membendung orang Islam dari meminum arak, yang tidak kemas ialah penguatkuasaan dan pelanggaran hukum agama oleh peminum arak. Kedah hanya membenarkan lessen premis menjual arak kepada kedai-kedai tertentu sahaja milik bukan Islam. Jika DPPP ada pandangan lain untuk melaksanakan tuntutan Islam dalam isu ini , sila kemukakan dengan cara yang betul, bukan dengan membuat sidang akhbar sahaja. Ini penegasan MB semalam.

Apa yang saya fahami dari sidang akhbar sambil berdiri di Istana Anak Bukit itu dan penjelasan dalam akhbar hari ini ialah:

1. Istilah pekeliling telah digunakan oleh wartawan, sedangkan ia adalah kertas cadangan. Istilah inilah yang mengejutkan MB lalu mempersoalkan hak DPPP untuk mengeluarkan pekeliling.

2. Kedah tidak bermaksud membiarkan sahaja arak yang diharamkan dalam Islam memusnahkan kehidupan beragama rakyat Kedah, tetapi sebarang cadangan penambahbaikkan mestilah lebih kemas dari apa yang sedia ada. Langkah-langkah menghadkan lessen premis sudah pun dibuat di semua PBT di Kedah.

3. Perlu ada perbincangan yang mendalam dari semua sudut, termasuk kajian terhadap Enekmen dan Akta berkaitan serta penguatkuasaan undang-undang yang ada dalam bidang kuasa kerajaan Negeri (khususnya dalam konteks Kedah) untuk memperkemaskan pelaksanaan hukum Islam berkaitan arak.

4. Negeri Kedah tidak berdiam diri dalam usaha melaksanakan hukum pengharaman meminum arak kepada umat Islam dan kesan arak kepada masyarakat seluruhnya, tetapi ia tidak dibuat menerusi publisiti di media.

5. Sebarang perubahan dalam dasar dan polisi kerajaan Kedah harus dipersiapkan dan dikemukakan dengan penuh kekuatan dari semua sudut sama ada strukturnya, kandungannya, kredibiliti dan integritinya, supaya ia boleh dilaksana dan dipertahankan. Jangan sampai sesuatu pembaharuan dalam pentadbiran dicabar dan kalah di mahkamah.

6. Kaedah ‘pukul anak sindir menantu’ tidak sesuai, dan tidak cukup kekuatan dalam isu perundangan dan pendekatan politik dalam bab melaksanakan tuntutan terhadap hal-hal yang sensitive (dalam konteks budaya dan sosio-politik Malaysia) seperti arak dan judi.

7. MB bersedia menerima cadangan dan saranan sesiapa sahaja untuk kebaikan, dan bersedia bertemu DPPP dalam isu ini.

Setahu saya, di zaman pemerintahan Khalifah Syaidina Umar Al-Khatab, beliau telah mengambil cukai ke atas arak, tetapi bukan bertujuan mencari dana negara, tetapi untuk membebankan industri itu. Hal-hal seperti ini perlu dibincangkan dengan serius dalam konteks Malaysia hari ini.

Harapan saya ialah supaya langkah awal DPPP dalam isu ini, walaupun bermula dengan sedikit ‘panas’, akan membuahkan hasil yang mampu membuka jalan keluar yang terang-benderang.
Kesan yang kita mahukan ialah kerajaan mampu menyelamatkan rakyat dari terus terjerumus dalam dosa dan kesan buruk arak selaras dengan tuntutan Allah s.w.t. Saya telah dihubungi oleh Setiausaha DPPP, Saudara Kamarulzaman Mohamad untuk mengadakan pertemuan dengan MB untuk memberikan maklumat lanjut DPPP dalam isu ini.

-utaraonline.net-

Tiada ulasan: