"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sheerah diharap pulang menjelang Aidil Fitri

Ali Hashim
BUKIT MERTAJAM, 13 Sept: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini tidak akan membawa apa-apa pengertian bagi keluarga Alias Othman, sekiranya anak kesayangan beliau, Norshafarani Alias tidak ditemui setelah menghilangkan diri sejak awal ramadan yang lalu.

Alias yang juga seorang kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai melahirkan rasa sedih beliau ketika ditemui di kediamannya di Kampung Kubang Semang, Bukit Mertajam baru-baru ini.

Menurut beliau, Norshafarani yang lebih mesra dipanggil dengan panggilan Syerah adalah seorang pelajar cemerlang tahun akhir Politeknik Kulim, Kedah. Beliau sedang mengikuti jurusan kejuruteraan elektrikal.

"Saya tidak tahu bagaimana anak saya itu hilang kerana ketika kejadian saya dan isteri, Salmah Ahmad tiada di rumah kerana keluar untuk membeli keperluan bulan Ramadan.

"Pelbagai usaha telah dilakukan bagi mencari Syerah tetapi sehingga ke hari ini kelibat beliau tidak juga kelihatan. Oleh kerana itu saya amat berharap kepada sesiapa yang mengenali atau menemui anak saya ini supaya menghubungi saya atau mana-mana balai polis yang berdekatan. Sekiranya Syerah tiada maka Aidilfitri tahun ini tidak akan membawa apa-apa kemeriahan kepada kami sekeluarga," beritahu Alias.

Sebelum ini Muslimat PAS kawasan Permatang Pauh telah pun mengadakan majlis bacaan Yassin sebagai salah satu usaha supaya Norshafarani ditemui.

Image(Gambar: Sheerah yang hilang sejak awal Ramadhan)

Menurut ibu Norshafarani, Salmah Ahmad, beliau tidak dapat melelapkan mata selagi anaknya tidak ditemui.

"Saya merayu kepada sesiapa sahaja yang menemui anak saya atau tahu dimana beliau berada supaya segera menghubungi kami. Adik-adiknya juga amat merinduinya kerana mereka tidak pernah berjauhan selama ini."

Sehingga ini Norshafarani juga tidak hadir ke kuliah tahun akhirnya di Politeknik Kulim sejak awal Ramadan yang lalu.

Alias berharap mereka yang menemui anaknya supaya menghubunginya menerusi talian 016-483-3539 atau dialamat 257, Kubang Semang, 14400, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Tiada ulasan: