Zolkharnain Abidin
Ucapan Ketua Pemuda Umno masih bergema di bawah tempurung Melayu. Beliau cuba bermain istilah apabila menyebutkan bahawa konsep kepimpinan kini tidak boleh berasaskan Malay dominance (kekuasaan Melayu) yang sempit tetapi hendaklah berteraskan Malay leadership (kepimpinan Melayu) yang adil dan rahmah.
Istilahkan apa sahaja, sebenarnya masih belum keluar daripada tempurung Melayu. Inilah retorik Umno dari dulu sampai kini dan ini juga ratib mereka sepanjang hari.Ketika Umno pekat dengan laungan Melayu inilah, sekangkang demi sekangkang tanah-tanah simpanan Melayu tergadai kepada warga asing. Khairi boleh menziarahi Johor pada bila-bila masa sahaja dan boleh melihat samada tanah berpasir di pantai atau tanah gambut di hutan, terpacak papan-papan tanda hak persendirian. Hak persendirian itu kalau dicungkil ternyata hak warga Singapura.
Umno pernah bising apabila mempersoalkan mengenai Ketua Menteri Pulau Pinang adalah orang DAP apabila Pakatan Rakyat menguasai negeri itu. Mereka teralpa sejenak semasa BN berkuasa, Ketua Menterinya adalah juga bukan Melayu daripada Gerakan.
Banyak lagi kes yang boleh dibentang. Semua itu bila berlaku? Semasa Umno berdegar-degar, siap dengan menghunus keris untuk mempertahankan ‘Melayu’.
Kini Khairi tampil lagi dengan retorik baru yang juga berteraskan Melayu, ‘kepimpinan Melayu’. Mengapa perlu beralih daripada ‘kekuasaan Melayu’ kepada ‘kepimpinan Melayu’? Khairi takut kepada Gerakan, MCA dan MIC? Atau, Khairi ingin me’make up’ wajahnya supaya dilihat sebagai pejuang Melayu? Atau, semua pemimpin Umno termasuk Khairi sudah kehabisan modal dan modal yang tinggal hanya kalimah Melayu?
Banyak ungkapan lain selain Melayu boleh ditampilkan untuk menggambarkan kepimpinan adil dan rahmah. Al-Quran tidak pernah mengkhususkan adil dan rahmah kepada bangsa tertentu. Justeru mengapa hanya dikaitkan adil dan rahmah itu dengan kepimpinan Melayu?
Lebih 50 tahun Umno yang dilaungkan sebagai tulang belakang BN berkuasa dengan berpaksi kepada istilah Melayu itulah, Melayu hilang hampir semuanya sehingga yang tinggal dan masih disebut ialah Baju Melayu dan Keretapi Tanah Melayu sahaja.
Bagi saya, sama sahaja samada istilah ‘Malay dominance’ atau ‘Malay leadership’, selama mana Melayu itu adalah Melayu Umno, itu semua tidak akan mengubah apa-apa.
Mengapa saya berpendirian begitu?
Lihatlah satu-satu muka pemimpin Melayu dalam Umno pada hari ini. Daripada yang berbaju merah sampai berbaju pink, yang bersamping dan berbaju kurung. Wajah Melayu itukah yang diharapkan untuk tampil sebagai ‘Malay leadership’ seperti yang didegarkan oleh Khairi itu? Atau, lebih khusus lagi, wajah Melayu Umno seperti Khairi?
Rekod kepimpinan Melayu Umno amat menyakitkan dan menyeksakan. Jangan tanya perkara ini kepada pemimpin Umno tetapi tanyalah kepada rakyat marhaen yang bukan Umno. Mereka ada jawapan mengenai apa yang pemimpin Melayu Umno yang cuba dihias oleh Khairi sebagai ‘Malay leadership’ ini telah buat ke atas mereka.
Sudahlah Khairi. ‘Malay leadership’ gagasan Khairi itu sudah sirna. Orang tidak teruja lagi dengan istilah Melayu laungan Umno itu. Orang sudah keluar daripada tempurung Melayu Umno yang Khairi masih terlungkup di bawahnya.
Setelah Melayu merana di negara sendiri angkara Umno ketika Khairi bersama ketuanya menghunus keris suatu ketika dulu, bolehkah rakyat Melayu negara ini meletakkan harapan pula kepada ‘Malay leadership’ yang didegarkan Khairi itu.
Kalau rakyat Melayu sendiri sudah sirna harapan mereka kepada Umno, bagaimana dengan mereka yang bukan Melayu?
Tak apa biarlah Khairi dan Umno terjun dengan labu-labu Melayu mereka.
Oh ya, kalau rajin bacalah petikan Perlembagaan Umno di sini. Tentu kita akan nampak dengan jelas retorik Umno itu.http://bongkarsauh.blogspot.com/
1 ulasan:
Salam Kerengge.....
Aku memahami apa yang anda katakan...tepat dan benar....
Untuk bercakap memang senang, tetapi apakah Khairy sedar.... apa yang diperkatakan akan disusuli dengan tindakan yang jitu dan pantas... atau hanya retorek semata mata.. Kalau itu senerionya....mungkin anak cucu kita nanti boleh melihat dan merasai apa yang ada pada Singapura Sekarang.....
Catat Ulasan