"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selangor : MB nafi kenyataan perbelanjaan RM8 juta PBT

Muhammad Arif Ismail

TAMAN MEDAN, 15 Jun (Hrkh) - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Selangor Daily yang mendakwa Pihak Berkuasa Selangor membelanjakan RM8 juta kepada Pakatan Rakyat.


Dipetik dari Selangor Daily, ia dilakukan untuk menampung kos elaun pejabat, gaji kakitangan, kos utiliti untuk setiap ahli majlis dan elaun bulanan yang digunakan untuk melancarkan kempen parti-parti dalam Pakatan seperti PAS, PKR dan DAP.

Jelas Menteri Besar Selangor, perkara yang sama juga turut dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa memerintah negeri ini, malah mereka mengggunakan dana ini bukan untuk rakyat tetapi bagi membuat lawatan ke luar negara.

Katanya, perbuatan menggunakan perbelanjaan untuk tujuan itu dikurangkan kerana tidak mahu berlaku pembaziran wang rakyat dengan melakukan lawatan ke tempat yang tidak berkaitan dengan dengan urusan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Sebelum Mac 2008, katanya, ahli majlis juga dibayar elaun dan ini hendaklah tunjukkan supaya perbezaan ketika era pemerintahan BN dahulu hanya terdapat orang politik sahaja dipilih menjadi ahli majlis.

"Tetapi sekarang, 30 peratus daripada ahli majlis merupakan dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan bukan dari orang politik. Tidak semestinya kerajaan negeri mengatakan tiada perbelanjaan, bayangkan ahli majlis yang berkerja begitu kuat. Takkan kita kita tidak boleh bagi dia elaun RM700 hingga RM800 sebulan, gaji buruh pun lebih daripada itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Dataran Anak Muda Petaling Jaya Selatan dalam Dewan Undangan negeri Taman Medan.

Turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan (Adun), Taman Medan, Haniza Talha; Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; Adun Batu Caves, Amirudin Shari; Adun Sijangkang, Dr. Yunus Hairi dan Adun Teratai, Jenice Lee.

"Sebanyak RM3 hingga RM5 juta setahun diperuntukkan untuk seluruh negeri yang merangkumi semua aspek termasuk pengurusan, aktiviti pembangunan belia di Selangor dan saya berharap, idea mengilhamkan dataran ini perlu disokong dan dikembangkan di seluruh negeri ini.

"Saya menjangkakan banyak aktiviti bakal diadakan untuk remaja dan belia selain daripada forum atau ceramah, usahawan, pameran kereta serta jualan kereta terpakai. Program ini juga sesuai dengan pembangunan belia negeri ini dan diuruskan oleh tiga Adun, Dr. Yunus Hairi, Amirudin Shari dan Jenice Lee yang juga merupakan belia," katanya.


Tiada ulasan: