Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yakin PAS tetap utuh biar pun mutakhir ini perbezaan pendapat antara pimpinan kanan parti itu mengisi dada-dada akhbar arus perdana kawalan Barisan Nasional.
Dikerumuni media sebaik sahaja keluar dari Dewan Rakyat hari ini, mantan Timbalan Perdana Menteri itu menolak tanggapan wujudnya perpecahan dalam Pas berhubung tawaran Umno untuk bermuqabalah dengan Pas.
Anwar berkata laporan yang memetik Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi teguran terbuka kepada Timbalan Presiden parti Nasharuddin mat Isa bersabit isu itu tidak perlu menimbulkan andaian bahawa kepimpinan parti itu dalam krisis.
Nik Aziz membuat teguran itu selepas Nasharuddin dilaporkan berkata Pas menyambut-baik kesediaan Najib untuk mengadakan perbincangan mengenai cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.
"Teguran dari Nik Aziz tentulah dari perasaan beberapa rakan-rakan Pas dan akar umbi, dan tentu dapat dileraikan jika penjelasan dapat diberi secara baik," kata Anwar.
Beliau yakin Presiden Parti Abdul Hadi Awang dan Nik Aziz mampu mengatasi sebarang isu yang berbangkit demi keutuhan parti .
"Saya ingat ia dalam konteks perkara-perkara yang berbangkit sebelum ini, tetapi saya berkeyakinan dengan kemampuan Nik Aziz dan Presiden Abdul Hadi untuk meleraikan isu yang berbangkit," tambah Anwar.
Anwar berkata isu kerajaan perpaduan itu telah cuba diputarbelitkan oleh UMNO tetapi Pakatan Rakyat yakin dengan iltizam PAS untuk terus bersama gagasan pembangkang itu.
"Saya tidak fikir ada pergolakan kerana muktamar Pas mereka menyatakan pendirian dengan jelas. saya tidak fikir ada kekeliruan dan diulangi oleh pimpinan Pas bahawa mereka komited kepada Pakatan, tidak menolak perbincangan dengan syarat Umno menjamin pilihanraya bebas, hentikan tindakan zalim," kata Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan