"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Manohara Dan Tengku TT : Layanan buruk pekerja Indonesia, tegangkan isu Manohara

Jimadie Shah Othman
Kegagalan kerajaan menangani isu penderaan berterusan terhadap pekerja Indonesia di negara ini menyebabkan kes "penderaan" bekas model Indonesia, Manohara Odelia Pinot menjadi tegang, kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Masalah hubungan Indonesia dan Malaysia terjejas kerana isu ini (Manohara), sama dengan isu penderaan pekerja dan pembantu rumah Indonesia.

"Tambah pula dengan isu Ambalat. Jadi, saya minta kerajaan Malaysia tanganinya dengan bijak," katanya dalam sidang akhbar di Bangi hari ini.

"Isu penderaan berlaku secara berterusan. Terlalu ramai pekerja Indonesia, pembantu rumah yang teraniaya.

"Ini tidak boleh dilihat sebagai sikap angkuh kita yang relatif lebih kaya untuk mendera pekerja dan pembantu rumah (Indonesia) yang dianggap lebih miskin," kata Anwar.

manohara odelia pinot jakarta 100609Beliau mengulas isu Manohara yang mendakwa didera suaminya, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Kes itu kini dilaorkan kepada polis di negara masing-masing oleh pasangan diraja itu.

Siasat secara adil


Anwar berkata, ketegangan kedua negara perlu diselesaikan segera kerana Indonesia merupakan jiran yang penting kepada Malaysia.

"Saya minta kerajaan jangan tangguh (selesaikannya). Jangan hanya berharap boleh selesai (sendiri). Tetapi harus ditangani dengan bijak kerana Indonesia, seperti juga Singapura, jiran yang penting kita jalinkan hubungan paling baik," katanya.

Mengulas lanjut kes Manohara, Anwar menggesa setiap laporan yang dibuat disiasat secara adil, bebas dan mengikut lunas undang-undang.

"Kita tidak boleh menghukum (seseorang) jika kita tidak mendapat maklumat yang mencukupi," katanya.

Sementara itu, Anwar juga menyambut baik kunjungan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang bertemu dengan pemimpin politik di negara ini.

Menurutnya, pertemuan Lee dengan pemimpin kerajaan dan pembangkang, mampu mengukuhkan kefahaman dan memperkuatkan hubungan antara kedua-dua negara.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: