"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno/BN : Zulkefly desak Mohamad Hasan jelaskan isu sumbangan wang pada SPRM

Faiz Abdullah

SEREMBAN, 15 Jun (Hrkh) - Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohd Omar, membidas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohamad Hasan berikutan kenyataan Mohamad Hasan di dalam akhbar Sinar Harian, 13 Jun, bahawa kerajaan Negeri cuma memberikan RM5,000 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Negeri Sembilan.


Sebelum ini pada 12 Jun, dalam sebuah sidang akhbar di Seremban, Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin mendedahkan bahawa Mohamad Hasan telah memberikan RM20,000 dalam bentuk cek dan memasukkan ke akaun Kelab Sukan SPRM Negeri Sembilan.

Zulkefly berkata, "Isunya di sini bukannya berapakah jumlah wang yang diberikan kepada SPRM, tetapi tindakan Mohamad Hasan jelas telah melanggar etika dan peraturan kakitangan kerajaan.

"Peraturannya ialah sumbangan dari kerajaan negeri mestilah melalui Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK)," katanya.

Menurut Zulkefly, tindakan Mohamad Hasan jelas telah melanggar peraturan dan ini akan mencetuskan satu situasi yang tidak sihat di mana akan berlaku pertindihan kepentingan.

"Tindakan Mohamad Hasan ini akan menjurus kepada kepentingan peribadi dan agenda tersirat.

"Bagaimanakah SPRM Negeri Sembilan akan bertegas dalam sesuatu penyiasatan membabitkan kerajaan Negeri Sembilan, sedangkan pada masa yang sama mereka terhutang budi kepada Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Sembilan?" tegas Zulkefly.

Zulkefly juga mempertikai kewajaran Mohamad Hasan memberi sumbangan kepada Kelab Sukan SPRM Negeri Sembilan berbanding banyak lagi pihak termasuk sekolah, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lebih memerlukan bantuan.

"Kenyataan Mohamad Hasan bahawa ia bukan duit beliau tetapi duit kerajaan negeri adalah kenyataan kebudak-budakkan dalam usaha melepaskan diri.

"Memang ia bukan duit sendiri dia, tetapi dia diamanahkan sebagai Menteri Besar untuk menjaga dan mentadbir wang rakyat," kata Zulkefly lagi.

Beliau menyifatkan kenyataan Mohamad Hasan itu mengambarkan seolah-olah beliau cuba lari dari bertanggungjawab dalam isu ini.

Sehubungan itu, Zulkefly mendesak agar Mohamad Hasan menjelaskan kepada rakyat dengan segera bagaimana hal sedemikian boleh berlaku.


Tiada ulasan: