"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UMNO/BN: Perbincangan Atas Isu Awam Saja, Bukan k/jaan Perpaduan - Anwar

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Sri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan Pakatan Rakyat tidak menolak sebarang rundingan dengan UMNO- Barisan Nasional bersabit isu- isu berkepentingan awam tetapi bukan menjurus kepada cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

Beliau berkata isu kerajaan perpaduan langsung tidak timbul kerana pentadbiran negara dibawah UMNO- Barisan Nasional masih dibelit dengan kerakusan kuasa, kezaliman dan ketidakadilan melibatkan institusi awam.

“Isu berbincang dengan Barisan Nasional dan Umno tidak jadi masalah. tapi kalau kita bicara pasal perpaduan, untuk apa ? Untuk teruskan kezaliman? gunakan ISA untuk tangkap orang atau untuk menyalahgunakan proses mahkamah?, Untuk merampas Perak ? Itu tidak dibereskan,’ kata Anwar.

“Jadi kalau nak bincang...mengapa tidak ada pilihan raya di Perak ? Mengapa jenayah meningkat ? Mengapa Peguam Negara tidak telus ? Mengapa badan kehakiman belum bebas ? Mengapa media jadi alat propaganda murahan ? Ini yang akan dibahaskan. Ini akan membolehkan kita mengadakan perbincangan yang baik,” tambah Anwar.

“Kalau BN tegur kita sebab kritikan kita pedas, kita boleh dengar. Apa- apa penyesuaian yang boleh kita lakukan, kita akan lakukan. Untuk bicarakan tentang kerjaan perpaduan, itu bukan sesuatu yang munasabah sama sekali," kata Anwar.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama Wacana Pendidikan Rakyat anjuran sayap pemuda dan biro pendidikan PKR di Shah Alam.

Merujuk usaha UMNO meminda perlembagaannya, Anwar berkata yang jelas PKR telah pun mengorak langkah itu jauh lebih awal dan secara komprehensif supaya menjadi parti yang lebih demokratik dan bebas dari rasuah politik.

"Umno menimba sedikit idea kita. Tetapi proses demokrasi ini tunggaknya kepada falsafah perjuangan dan dasar dan diperkuatkan dengan kaedah yang demokratik,” jelas Anwar.

“Umno memilih satu daripada aspek iaitu corak yang demokratik. tapi kerakusan, kezaliman masih menjadi falsafah mereka. Jadi saya tidak fikir ia (Umno) akan melakukan melakukan banyak perubahan, ia cuma babak drama yang baik saja,” kata Anwar.

Pada 13 Jun lalu, PKR meluluskan beberapa pindaan perlembagaan parti untuk menghadkan tempoh maksima seseorang boleh menjadi presiden tidak lebih dari 3 penggal atau 9 tahun.

Sistem perwakilan untuk memilih pemimpin tertinggi dimansuhkan dan hak mengundi diberikan secara langsung kepada ahli biasa.

Pindaan juga diluluskan untuk memperuntukkan 30 peratus jawatan penting dalam parti untuk wanita.

Berlainan daripada pindaan yang diluluskan oleh PKR, UMNO akan terus mengekalkan sistem perwakilan bagi memilih pemimpin yang disifatkan faktor utama menyebabkan parti itu dibelenggui dengan budaya politik rasuah.

UMNO memilih untuk hanya meminda sistem kuota yang ditetapkan untuk membolehkan calon bertanding, isu-isu berhubung yuran, penambahan jumlah perwakilan, had kelayakan menjadi calon serta penglibatan ahli di peringkat akar umbi.

Pemerhati politik mempertikaikan sejauh mana pindaan itu akan berkesan untuk memastikan perwakilan UMNO tidak menjual undi mereka kepada calon yang menawarkan harga paling tinggi, sebagaimana yang lazim berlaku pada setiap pemilihan parti.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: