"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Husam, Mat Sabu dijangka terima AJK PAS

Jimadie Shah Othman
Dua bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu kemungkinan besar akan menerima tawaran dilantik menyertai ahli jawatankuasa pusat PAS.

Sejak ditawarkan jawatan tersebut seminggu lalu, kedua-dua calon timbalan presiden yang tewas di tangan penyandangnya Nasharuddin Mat Isa belum menjawab tawaran tersebut - menimbulkan teka-teki dan spekulasi.

Mohamad minggu lepas memberitahu
Malaysiakini bahawa beliau memerlukan masa seminggu untuk membuat keputusan tersebut.

Sementara Husam pula dilaporkan sedang menunggu penceramah popular itu membuat keputusan dahulu, lapor sebuah akhbar hari ini.

Sikap kedua-duanya akan dilihat sebagai petunjuk sejauh mana keretakan dalam pemimpin atasan PAS berlarutan atau sudah reda susulan persaingan sengit dalam pemilihan di muktamar ke-55, awal bulan ini.

Sikap mereka berdua juga membayangkan pendirian berhubung kerjasama PAS dengan Umno - tema utama penentangan mereka terhadap Nasharuddin - dalam isu muzakarah dan kerajaan perpaduan.

Sumber-sumber yang dekat dengan Husam dan Mohamad memberitahu
Malaysiakini hari ini bahawa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat menasihat kedua-duanya agar menerima tawaran tersebut.

Tokoh ulama PAS itu mencadangkan sedemikian bagi "mengimbangi" suara-suara pemimpin yang condong kepada idea kerajaan perpaduan dalam parti itu.

Difahamkan, Mohamad pernah bertemu menteri besar itu tiga hari lalu bagi membincangkan kedudukannya itu. Tarikh dan lokasi pertemuan bagaimanapun tidak didedahkan.

Sementara Husam - yang difahamkan turut menerima nasihat seumpamanya daripada Nik Aziz - masih lagi menimbangkan tawaran tersebut.

Namun exco kerajaan Kelantan itu, yang juga bekas setiausaha Nik Aziz, selalunya tidak membantah nasihat ketuanya itu.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: