"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Manohara Dan Tengku TT : Sultan tiada kaitan dengan kes Tengku TT-Manohara

Sultan Kelantan tiada kaitan berhubung kenyataan puteranya Tengku Temenggong Kelantan dan isterinya Manohara Odelia Pinot berhubung pelbagai tuduhan, termasuk isu penderaan.

Pejabat Sultan Kelantan menegaskan, kenyataan yang dikeluarkan oleh pasangan itu bersifat peribadi dalam hubungan mereka sebagai suami isteri.

''Oleh itu, tidak patut dan tidak boleh dikaitkan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan atau Pejabat Sultan Kelantan," satu kenyataan akhbar pejabat itu dipetik.

Kenyataan yang bertandatangan seorang pegawai tadbirnya Nik Mahmud Nik Jaffar dikeluarkan bagi pihak Pengelola Istana Diraja Kelantan sebagai merujuk pergeseran berhubung perkahwinan mereka dan laporan polis yang dibuat oleh Tengku Muhammad Fakhry Petra, juga dikenali Tengku TT, Khamis lalu.

Tengku TT membuat aduan
terhadap isterinya dan ibu mertuanya Daisy Fajarina atas alasan memfitnah berikutan pelbagai dakwaan, termasuk bekas model itu dianiaya dan didera oleh putera Sultan.

Aduan polis di Kuala Lumpur itu selepas laporan polis Manohara
terhadap suaminya, Sultan Kelantan, Raja Perempuan Kelantan, kenalan kerabat tersebut Mohd Soberi Shafii dan empat yang lain.

Dalam kenyataan sama, istana Kelantan menyeru semua pihak memberi peluang kepada pihak berkuasa membuat penyiasatan secara telus dan adil.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra atau Pejabat Sultan Kelantan tidak pernah melantik sesiapa menjadi jurucakap berhubung kontroversi Manohara-Tengku TT dengan mana-mana media.

''Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak adalah bersifat peribadi dan menjadi tanggungjawab peribadi mereka," kenyataan itu dipetik.


Berikut kenyataan rasmi istana Kelantan:

Saya dititahkan untuk menarik perhatian mengenai isu perkahwinan YAM Tengku Temenggong Kelantan dan Cik Puan Manohara Odelia Pinot dan laporan polis yang dibuat oleh YAM Tengku Temenggong Kelantan pada 11 Jun 2009 dan disiarkan oleh akhbar-akhbar pada 12 Jun 2009.

Adalah ditegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh YAM Tengku Temenggong Kelantan dan Cik Puan Manohara Odelia Pinot adalah merupakan kenyataan peribadi dalam hubungan mereka sebagai suami isteri. Kenyataan-kenyataan tersebut tiada ada kaitan langsung dengan KDYMM Tuanku Al-Sultan Kelantan atau Pejabat Sultan.

Memandangkan penyiasatan sedang berjalan saya berharap semua pihak dapat menghormati dan memberi peluang kepada pihak yang berkuasa untuk membuat penyiasatan secara telus dan adil. Perlu ditegaskan isu berkenaan adalah merupakan isu peribadi YAM Tengku Temenggong dan Cik Puan Manohara Odelia Pinot sebagai suami isteri, oleh itu tidaklah patut dan tidak boleh dikaitkan dengan KDYMM Tuanku Al-Sultan atau Pejabat Sultan Kelantan.

Saya juga ingin memaklumkan sekali lagi bahawa KDYMM Tuanku Al-Sultan pada masa ini masih lagi dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Sama-samalah kita berdoa semoga KDYMM Tuanku Al-Sultan cepat sembuh dan kembali ke negeri Kelantan.

Seterusnya saya dititahkan untuk memaklumkan bahawa YMM Pemangku Raja atau Pejabat Sultan Kelantan tidak pernah melantik mana-mana orang menjadi jurucakap di mana-mana media. Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak adalah bersifat peribadi dan menjadi tanggungjawab peribadi pihak-pihak tersebut. Selanjutnya diharapkan semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan suasana atau membantut penyiasatan supaya isu berkenaan dalam diselesaikan melalui proses undang-undang dengan adil dan saksana.

Sekian, terima kasih.

Nik Mahmud bin Nik Jaffar
Pegawai Tadbir (Pentadbiran)
b.p. Dato' Pengelola Istana Diraja Kelantan

Istana Balai Besar
Kota Bharu, Kelantan
15 Jun 2009

-malaysiakini-

Tiada ulasan: