"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Manek Urai : Buktikan PAS guna pendekatan samseng - Pemuda PAS

Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Hrkh) - Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi mencabar Pemuda BN Kelantan supaya mengemukakan bukti yang mengatakan bahawa PAS menggunakan pendekatan politik samseng dalam kempen di pilihan raya kecil Dun Manek Urai.

"Saya mencabar Pemuda BN Kelantan agar mengemukakan bukti bagi menyatakan bahawa PAs menggunakan kaedah politik samseng pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai," ujarnya pada sidang media Pemuda PAS di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda BN Kelantan, Annuar Sufian yang mendakwa kandungan ceramah pemimpin PAS yang sanggup 'bertumpah darah' untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai sebagai satu pendekatan politik samseng.

Ini kerana menurutnya, pada kebiasaan sesuatu pilihan raya kecil diadakan Umno akan mencetuskan provokasi dan mengeruhkan keadaan.

"Kebiasaannya seperti yang kita semua sedia maklum, provokasi ini dicetuskan pihak Umno-BN malah tuduhan itu sendiri mencerminkan Umno itulah yang samseng," katanya.

Nasruddin juga menyelar dakwaan Pemuda BN kelantan yang menuduh Pemuda PAS menggunakan pendekatan samseng sebagai suatu tuduhan yang liar dan jahat.

"Ia merupakan satu tuduhan yang liar, jahat dan tidak masuk akal," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai kesan isu kerajaan perpaduan ketika kempen pilihan raya kecil itu, beliau menganggap ianya tidak menjadi kerisauan kepada parti.

"Perbezaan pendapat antara pimpinan bukanlah menjadi isu yang merisaukan kerana masing-masing adalah berasaskan hujah dan ianya diraikan.

"Malah terdapat mekanisme untuk menyelesaikan perbezaan ini menerusi muzakarah di peringkat dalaman," katanya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau menganggap media turut menjadi punca mengeruhkan keadaan dengan eksploitasi yang dilakukan bagi memecah belahkan parti.


Tiada ulasan: