"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS mahu pendaftaran pemilih automatik

Yusri Amin
KOTA BHARU, 25 Jan:
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Rahim Wan Abdullah menggesa kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula cadangan PAS agar pendaftaran pemilih secara automatik digunakan.

Ianya bagi mengatasi lambakan 4.39 juta penduduk di negara ini yang berusia lebih 21 tahun dan layak mengundi tetapi tidak mendaftar sebagai pemilih.

"Dahulu pun sudah ada cadangan dan pihak SPR pernah bersetuju dengan cadangan pihak PAS supaya dibuat pendaftran secara automatik.

"Seseorang mencapai umur 21 tahun mengikut Jabatan Pendaftaran Negara maka namanya disenaraikan secara automatik di dalam daftar pemilih SPR, namun cadangan itu tidak dipersetujui kerajaan BN," katanya.

Keengganan BN menerima pakai cadangan itu, dakwanya kerana mereka mendapat keuntungan dari keadaan sekarang.

"Jadi oleh kerana BN sentiasa mendapat 'political mileage' (kelebihan politik) serta mendapat 'advantage' daripada sistem seperti itu (sistem sekarang) maka pasti mereka tidak akan bersetuju untuk mengadakan pendaftaran secara automatik itu," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar had umur pengundi dikurangkan dari 21 kepada 18 tahun sejajar dengan amalan demokrasi di kebanyakan negara lain.

Namun, beliau yakin ianya bukan mudah untuk dilakukan kerajaan BN memandangkan mereka bimbang kuasa undi generasi muda seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

Mengenai desas desus PRU-13 pula, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengadakannya pada tahun 2012.

"Dia lebih berminat untuk mengadakannya pada 2012.

"Kemungkinan PM akan membentangkan (melancarkan) Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) pada Jun 2010 di Parlimen," katanya.

Tiada ulasan: