"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jangan Sampai Orang Kata Begini...

Zolkharnain Abidin

Salah seorang exco Dewan Pemuda PAS Pusat secara terang-terangan mengkritik keputusan JK Disiplin PAS Pusat. (Baca Tranungkite di sini). Bahkan, jik[hasan+ali.jpg]a dibuka banyak lagi blog, akan ditemui sekian banyak rasa tidak puas hati kepada keputusan itu.

Sehingga kini, belum dite mui blogger yang menulis menyokong dan berpuashati dengan keputusan itu kecuali artikel Roslan SMS bertajuk ‘Sucikanlah hati… (di sini). Sementara yang lain melahirkan rasa tidak puas hati sekurang-kurangnya secara tersirat.

Hukuman yang dikenakan dikatakan tidak setimpal samada ke atas Khalid (terlalu berat berbanding kesalahan) atau ke atas Hassan (terlalu ringan kerana ada pertuduhan yang tidak diambil kira).

Bahkan, ada yang menganggap hukuman ke atas Hassan sekadar ‘wayang’ sahaja untuk dilihat umum bahawa JK Disiplin PAS adalah telus dan adil. Manakala hukuman ke atas Khalid adalah hukuman sebenar.

Isunya bukan Hassan atau Khalid. Pimpinan tidak boleh menghadkan kesan hukuman itu ke atas Hassan dan Khalid sahaja tetapi lebih penting adalah kesan kepada parti.

Kalau suatu ketika dulu Lembaga Disiplin Umno dikritik kerana mengenakan hukuman yang berbeza, kini JK Disiplin PAS juga berhadapan kritikan yang sama. Jangan sampai orang kata, “JK Disiplin PAS dan Lembaga Disiplin Umno, sama saja.”

Pemimpin PAS tidak boleh berasa selesa dengan situasi parti masa kini. Jangan menganggap begini, “Tak apa, kita buat macam mana pun, orang PAS tetap akan undi PAS…” Anggapan itu mungkin benar untuk suatu ketika tetapi tidak benar untuk sepanjang masa.

PAS menang bukan kerana undi orang-orang PAS sahaja, tetapi undi orang Umno juga. Justeru kalau orang Umno yang undi PAS menyimpulkan PAS sama dengan Umno, bagaimana? Jangan sampai orang kata, “PAS dan Umno, sama saja.”

Kecuali, PAS tidak berminat lagi dengan pilihanraya dan PAS ingin jadi badan kebajikan atau badan dakwah sahaja. PAS boleh persetankan semua itu.

Bagaimana kalau suatu hari nanti ada orang berkata begini, “Aaaahh… nak perjuangkan Islam bukan melalui PAS sahaja, saluran lain pun boleh?” Tolonglah, jangan sampai orang kata begitu.

Kebimbangan lain ialah, ada pemimpin PAS yang berasa tahun 2010 adalah sama dengan tahun 1985. Politik kini lebih rencam. Media baru sangat besar kesannya kepada masyarakat.

Rakyat bukan ‘ular sawa’ yang menelan tanpa mengunyah. Rakyat adalah ‘harimau belaan’ yang sanggup menerkam tuannya pada bila-bila masa sahaja kalau tidak dilayan dengan betul.

JK Disiplin tidak boleh melihat Hassan sebagai Hassan, begitu juga Khalid. Lihatlah kepada ‘idealisme’ yang mereka bawa. Khalid dengan idealisme Pakatan Rakyat dan Hassan sebaliknya (saya tidak mahu menyebut ‘idealisme’ Hassan, sebab saya meluat).

Saya percaya juga pada waktu ini, jika ditampilkan Khalid dan Hassan untuk suatu pemilihan yang berkaitan dengan ‘idealisme’ itu, ahli dan penyokong PAS akan memilih Khalid.

Adakah JK Disiplin tidak memahami, meneliti dan merasai gelombang ini? Atau, gelombang ini dipersetankan?

Saya tidak bimbang dengan dasar dan perjuangan PAS tetapi saya bimbang dengan keupayaan PAS untuk mendepani cabaran politik masa depan yang semakin rencam dan kompleks, jika PAS seperti sekarang. Iaitu, gagal menyelami denyut nadi, aspirasi serta harapan masyarakat umum.

Saya ulangi, PAS boleh ketepikan semua itu dengan syarat PAS tidak perlu memasuki pilihanraya.

http://bongkarsauh.blogspot.com/

Tiada ulasan: