"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyelewengan PRK UKM:pengetua kolej gagal bagi penjelasan

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 2 Feb:
Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kesal dengan keengganan pengetua-pengetua kolej kediaman yang bertindak sebagai ketua pusat undi dalam pilihanraya kampus (PRK) minggu lalu untuk mengadakan sesi dialog berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam tempoh pembuangan dan pengiraan undi.

Seorang jurucakap Pro-M UKM berkata, meskipun pihaknya telah membuat desakan agar pengetua-pegetua kolej yang didakwa melakukan penyelewengan memberikan penjelasan,namun mereka enggan berbuat demikian tanpa sebarang alasan.

"Apa yang Pro-M kesalkan, kita mintak diadakan sesi dialog dengan pengetua-pengetua kolej, tapi mereka tidak mahu buat.

"Kita bukan mengharapkan sangat pun dari sudut menang dan sebagainya tapi kita nak berdialog dengan pengetua-pengetua kolej yang banyak buat penyelewengan.Kita nak dengar penjelasan daripada mereka.Itu matlamat utama kita,"kata sumber berkenaan ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Pro-M mendakwa, Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di beberapa kolej kediaman melakukan kesalahan sepanjang tempoh pembuangan dan pengiraan undi di kolej-kolej bertujuan memenangkan calon Aspirasi.

Hampir semua kolej kediaman dikesan melakukan penyelewengan antaranya Kolej Keris Mas,Kolej Burhanuddin Hilmi,Kolej Tun Hussien Onn,Kolej Ibrahim Yaakob,Kolej Ungku Omar,Kolej Ibu Zain,Kolej Pendeta Za’ba dan Kolej Dato’ Onn.

Di Kolej Ungku Omar sebagai contoh, Jawatankuasa Pelaksana Kolej berterusan mencatat nombor siri dan nombor matrik yang tercatat pada kertas undi walupun dibantah oleh calon dan wakil calon secara terhormat kepada pengetua yang bertindak sebagai ketua pusat undi dengan merujuk kepada buku Peraturan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UKM 2009.

Merujuk kepada Perkara 43(1) Peraturan Pemilihan MPP,kertas undi adalah rahsia dan hanya dapat dikeluarkan pada hari pembuangan undi sahaja.Calon dan wakil calon yang membuat bantahan telah ditekan dan dimarahi oleh pengetua berkenaan.Tindakan Jawatankuasa Pelaksana di peringkat kolej ini jelas dan nyata melanggar peruntukan dalam Peraturan ini walau dengan apa alasan sekalipun.

Tindakan ini juga tegas Pro-M,jelas sebagai usaha memberikan tekanan kepada pengundi-pengundi terutama pelajar-pelajar Tahun 1.Hal ini kerana perkara ini tidak berlaku sama sekali di Pusat Pembuangan Undi di Pusaneka yang rata rata pengundinya adalah tinggal di luar kampus.

Pihak Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i (JAKSA) kolej bersama beberapa kumpulan pelajar yang memakai baju berlogo “Aspirasi” pula bertindak mengedarkan senarai nama-nama calon kepada pelajar-pelajar tahun 1 sebagai tekanan meraih undi kepada pengundi. Merujuk Perkara 23 Buku Panduan Calon Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar 2009,larangan memancing undi di dalam dan di sekitar tempat mengundi.Pelajar tidak boleh memancing undi di dalam dan sekitar tempat undi.Walaupun perkara ini telah dibantah calon dan wakil calon,namun perkara ini masih berlaku dan mereka pula dimarahi apabila membuat bantahan.

Sekumpulan pelajar yang memakai baju berlogo “Aspirasi” dilihat cuma mewujudkan pondok panas diluar pusat pengundian sebagai usaha meraih undi daripada pengundi pengundi terutamanya pelajar Tahun 1. Tindakan ini dilihat member tekanan kepada pengundi pengundi terutamanya palajar pelajar Tahun 1. Perkara ini bertentangan dengan Peraturan 48(3)(a) dan (b) yang mana larangan kepada mewujudkan pondok pondok panas dan usaha meraih dan merayu undi.

Sehubungan itu, Pro-M semalam menghantar surat bantahan kepada Jabatan Perkhidmatan Pelajar berhubung aduan itu dan pihak pentadbiran berjanji akan mengeluarkan keputusan rasmi pada jam 5 petang ini.

Sebelum ini, pihak pentadbiran berjanji untuk mengeluarkan keputusan rasmi semalam namun tidak berbuat demikian atas alasan Pro-M tidak melakukan prosedur bantahan yang betul.

Usaha Pro-M untuk berjumpa dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik (TNC HEPA) Prof.Dato Dr.Mohamad Abdul Razak bagi mendapatkan penjelasan beliau juga masih gagal.

"Usaha kita untuk berjumpa denga TNC HEPA pun masih belum berjaya.Kita sudah tunggu di pejabat beliau, kena marah dengan pegawai,kena tengking walaupun TNC ada dalam bilik beliau,"katanya.

Pro-M turut menegaskan, sekiranya pihak pentadbiran masih gagal mengeluarkan keputusan rasmi petang ini seperti yang dijanjikan,pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak yang berkaitan.

Tiada ulasan: