"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saya hanya alat rakyat - Tengku Razaleigh

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 2 Feb:
Mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah tidak bermasalah biarpun Umno mahu mengambil tindakan terhadapnya ekoran sokongannya kepada kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak.

Beliau berkata, sokongan terhadap kerajaan Kelantan dibuat berdasarkan undang-undang bahawa Kelantan berhak mendapat royalti seperti perjanjian yang dibuat dengan Petronas.

"Saya tidak kisah, saya buat keputusan ikut apa yang benar berdasarkan undang-undang bukan nafsu, kalau Umno nak marah, marah lah.

"Dengan Mahathir pun saya berani lawan, saya tidak takut siapa,” katanya berseloroh.

Isu hak Kelantan mendapat royalti juga, jelasnya tidak perlu dipolemikkan dan tidak perlu dijadikan isu kerana ianya telah diselesaikan pada tahun 1974 lagi sewaktu beliau menjadi Pengerusi Petronas.

Asas penubuhan Petronas, jelasnya adalah untuk menyatupadukan rakyat di Malaysia bagi mengekalkan satu Persekutuan.

"Apabila saya dipilih menjadi Pengerusi Petronas, berundinglah dengan semua kerajaan negeri dan ketua-ketua kerajaan negeri.

"Kita buat perjanjian, kerajaan negeri perlu serah hak minyak kepada Petronas selama-lamanya, dan kalau Petronas dapat sahaja minyak, Petronas kena bayar lima peratus walaupun dua sen sekalipun, wajib dibayar," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan sewaktu kunjungan hormat Dewan Pemuda PAS Pusat ke kediamannya, di sini.

Tengku Razaleigh adalah satu-satunya pemimpin Umno yang menyokong usaha kerajaan Kelantan mendapatkan hak royalti.

Beliau pada 28 Januari lalu juga telah memenuhi jemputan kerajaan negeri bagi menjelaskan kedudukan tuntutan tersebut kepada rakyat negeri itu.

Ekoran sokongan kepada kerajaan PAS Kelantan itu, Umno berkemungkinan akan mengambil tindakan terhadap Razaleigh yang Ketua Umno Bahagian Gua Musang.

Ditanya, sama ada beliau sedang diperalat parti pembangkang, beliau menolak dakwaan tersebut.

"Saya bukan alat mana-mana pihak sama ada pembangkang ataupun kerajaan, saya hanya alat rakyat," katanya.

Tiada ulasan: