"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP Zul: Konspirasi ‘firaun kecil’ mahu tendang saya keluar PKR

G. Manimaran
KUALA LUMPUR, Feb 16:
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin mendakwa sudah wujud konspirasi untuk menendang beliau keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sebalik prosiding lembaga disiplin minggu ini.

Zulkifli (gambar) mendakwa usaha konspirasi itu termasuklah usaha menetapkan tarikh prosiding lembaga disiplin ketika beliau akan berada di Korea untuk menghadiri Persidangan Kepimpinan Antarabangsa mulai Khamis ini.

“Melihat pada kenyataan-kenyataan yang dibuat, nampaknya keputusan sudah dibuat (untuk saya dikeluarkan dari parti,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

“Saya telah menerima surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin PKR berkaitan tindakan saya membuat laporan polis terhadap Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam PAS) mengenai isu kalimah Allah.

“Saya ingin menegaskan bahawa saya bersedia untuk berhadapan dengan lembaga disiplin untuk mempertahankan prinsip dan pegangan saya dalam isu kalimah Allah,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada akan keluar PKR, Zulkifli berkata beliau masih meletakkan “ospyen itu terbuka.”

“Tunggu dulu, opsyen masih terbuka,” katanya.

Lembagai disiplin menetapkan Khamis ini dan 23 Feb untuk Zulkifli menghadap mereka menjawab tuduhan yang dikenakan.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata beliau agak hairan kerana lembaga disiplin memilih tarikh-tarikh tersebut sedangkan pucuk kepimpinan parti tahu bahawa beliau akan berada di Korea dalam tempoh tersebut.

Zulkifli hanya akan kembali ke tanah air pada 25 Feb.

“Saya berharap ia tidak bertujuan untuk menghalang saya daripada menghadiri prosiding di hadapan lembaga disiplin tersebut,” katanya.

Sebagai alternatif Zulkifli memperuntukkan tarikh 28 Feb atau 1 hingga 5 Mac kepada lembaga disiplin.

“Walau bagaimanapun saya tetap akan mempertahankan prinsip saya dan menegaskan bahawa saya bersedia berhadapan dengan lembaga disipin untuk menyatakan pendirian dan membela diri saya pada bila-bila masa dan di mana jua tempat yang munasabah dan bersesuaian bagi semua pihak,” kata beliau.

“Saya tidak mahu ada firaun-firaun kecil yang akan mengambil kesempatan untuk mendakwa kononnya saya takut berhadapan dengan lembaga disiplin.

“Saya bukan sahaja tidak takut, malahan bersedia dengan apa jua risiko yang bakal dihadapi demi mempertahankan akidah dan keyakinan saya terhadap agama saya,” katanya.

Wakil rakyat ini juga mendesak prosiding lembaga disiplin dikendalikan oleh mereka yang berwibawa dan mempunyai integriti.

Selain itu beliau menuntut supaya panel yang akan membicarakannya terdiri daripada mereka yang beragama Islam kerana isunya membabitkan kalimah Allah.

Pada sidang media hari ini, Zulkifli yang menerima surat tunjuk sebab pagi ini berkata, beliau mahu lembaga disiplin memperjelaskan pendirian dan keputusan parti yang beliau didakwa tidak mematuhi untuk memudahkannya membuat pendirian dan menyediakan pembelaan.

“Saya dituduh mengambil pendirian yang bercanggah dengan pendirian PKR. Saya tidak pasti apakah sebenarnya dimaksudkan dengan pendirian dan keputusan parti dalam isu kalimah Allah ini,” katanya.

Zulkifli juga berkata beliau merasa dukacita kerana notis tunjuk sebab hanya dikeluarkan terhadap dirinya wakil rakyat Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Hashim yang mengumumkan keluar parti Jumaat lalu dan Ahli Parlimen Nibong Tebal Tan Tee Beng.

“Sedangkan Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Setiausaha Agung (Saifuddin Nasution Ismail) telah mengumumkan selain kami bertiga Wee Choo Keong (Ahli Parlimen Wangsa Maju) dan Datuk Zaid Ibrahim juga akan dihadapkan ke lembaga disiplin.

“Saya telah dimaklumkan oleh sumber dalaman yang sahih dari PKR menyatakan tiada notis tunjuk sebab dan prosiding disiplin akan diambil terhadap Wee Choo Keong dan Datuk Zaid Ibrahim, malahan kenyataan-kenyataan yang dibuat hanyalah retorik politik sahaja.

“Menurut maklumat tersebut, sebenarnya PKR tidak pernah berniat pun untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap mereka kerana adalah kroni bagi kepimpinan PKR,” katanya.

Beliau menambah sekiranya benar ia adalah satu helah politik yang sangat dikesalkan dan membuktikan sikap “double standards” yang jelas.

“Oleh itu, bagaimana saya boleh menghormati lembaga disiplin yang ditubuhkan kononnya untuk menyiasat saya sedangkan kroni mereka tidak dikenakan apa-apa tindakan?

“Oleh itu saya mendesak supaya kepimpinan PKR untuk ‘walk the talk’ dana mengambil prosiding disiplin yang sama terhadap kedua-dua kroni tersebut dan tidak bermain silap mata politik murahan,” katanya.
-malaysianinsider-

Tiada ulasan: